Selasa, 9 Februari 2016

ORANG MUKMIN SEPERTI TANAMAN YANG SUBUR



UNTUK mendapatkan satu kawasan tanaman yang subur menghijau kemudian menghasilkan buah-buahan atau sayur-sayuran, banyak perkara perlu diambil kira. Selain tanah yang subur, pengaliran air yang cukup, benih yang baik, penjagaan yang rapi juga menyebabkan hasil tanaman memberikan pulangan yang menguntungkan. 
Selain itu faktor cuaca juga memainkan peranan penting. Jika pengaliran air berlebihan akan menyebabkan banjir dan ada kemungkinan tanaman akan mati. Tetapi jika  kawasan tanaman kekurangan air atau musim kemarau, tanaman juga akan turut terjejas. Ada kemungkinan tanaman juga akan kering layu dan mati.

Satu kawasan tanaman yang sederhana mesti mendapat sumber air yang mencukupi tidak berlebihan dan sinar matahari yang tidak menyebabkan kemarau atau kekeringan air.

Bagi Rasulullah SAW menggambar kawasan tanaman yang baik , angin tidak akan berhenti-henti meniupnya seumpama  orang mukmin dan sentiasa menerima cubaan dan ia sabar dengan cubaan itu.

Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan orang mukmin seperti  tanaman, tidak berhenti angin meniupnya dan orang mukmin sentiasa menerima cubaan. Sedangkan perumpamaan orang munafik seperti pohon yang kuat tidak pernah digoyangkan angin sampai ia ditebang.” – Al- Hadis.

Sebagaimana kita maklum, sebuah kawasan tanaman yang subur sudah pasti tidak akan terlepas daripada pelbagai ancaman. Selain mendapat nikmat hujan dan angin yang secukupnya, ada kalanya hujan berlebihan sehingga menenggelamkan tanam-tanamannya.

Ada juga ketikanya, angin kencang menerpa sehingga banyak-banyak pokok tumbang. Bagi ALLAH SWT, peristiwa ini  seumpama ujian dan cubaan. Apabila ALLAH SWT sentiasa memberikan kenikmatan, ada ketikanya mesti menerima ujian dan dugaan sebagai penguji kesabaran.  

Kebaikkannya tanam-tanaman dari benih yang baik ini akan mampu hidup walau dalam apa keadaan sekalipun. Walaupun ada pokok-pokok yang tumbang, tetapi ia masih hidup masih berbuah dan memberikan hasil kepada orang yang menanamnya.
         
Sekiranya ada serangan serangga atau penyakit tanam-tanaman, pokok-pokok ini  mampu untuk bertahan lama. Keadaan seperti ini adalah gambaran biasa sebagai sebuah kehudupan ada gembira dan awa waktu bersedih. Ini ada gambaran bagi seorang mukmin seumpama tanaman yang subur.

Berbanding dengan umat manusia yang kufur daripada nikmat ALLAH SWT, kehidupannya ibarat tanaman yang hidup di tanah gersang. Walaupun banyak disirami air dan udara yang cukup tetapi hidupnya tidak subur seolah-olah berpenyakit.
        
Hidup umat yang kufur ini juga ibarat tanam-tanaman yang apabila ditenggelami air, akarnya akan cepat mereput dan akhirnya daun-daunnya menjadi layu dan akhirnya mati. Begitu juga apabila ditimpa ribut kencang, tanam-tanaman ini akan tumbang kerana akar yang tidak kuat. Akhirnya ia akan musnah juga.  
         
Sekiranya tanam-tanaman ini diserang penyakit, ia akan cepat merebak dari satu pokok ke satu pokok, akhirnya satu perkebunan tanam-tanaman akan musnah kerana ketiadaan kekuatan untuk melawan penyakit.
     
Rasulullah SAW memberikan perumpamaan seperti ini supaya manusia sentiasa berfikir dan membuat pilihan. Allah SWT sudah mementukan dua jalan. Satu jalan yang menurut perintah ALLAH SWT dan satu jalan yang menyesatkan.
       
Sekiranya kita memilih jalan yang diredai ALLAH SWT, sudah pasti hidup kita akan selamat walaupun sesekali ada musibah dan ujian menimpa. Tetapi jika kita sendiri memilih jalan yang menyesatkan, hidup kita akan musnah kerana mengingkari perintah-NYA.
         
Untuk itu sangat wajar kita menjadi manusia yang sentiasa  bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Dalam al-Quran dalam surah Ibrahim ayat 7 ada disebutkan bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.”

Tiada ulasan: