Isnin, 16 Januari 2017

MAMPUKAH BERSYUKUR BILA DIUJI



SEMUA manusia tidak terlepas daripada diuji. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menerima ujian itu dengan lapang dada? Betullah, masih ada yang berfikiran terbuka, tetapi ramai juga yang akan berkeluh kesah. Fikiran menjadi buntu seolah-olah tiada jalan keluar.

Sekiranya kita dididik supaya bersabar dan berfikiran positif apabila berhadapan dengan sebarang ujian, kita akan tenang menghadapinya. Hanya dengan bersabar, bertenang dan berlapang dada, ujian itu akan dapat diatasi dengan mudah kerana adanya rasa syukur.

Pelik juga ya, apabila ada sesetengah orang mampu menghadapi ujian yang berat dengan tenang tanpa keluhan. Sesetengah lainnya pula baru sedikit diuji dengan sekecil-kecil ujian, sudah berasa dunia menjadi gelap. Seolah-olah ujian itu sudah menghempap keseluruhan hidup mereka.

Teruknya! 

Padahal Rasulullah SAW bersabda, “Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. – HR Riwayat Muslim.

Baginda menyuruh kita bersyukur dan bersabar walau diuji, tetapi amat sedikit yang melaksanakannya. Kebanyakannya akan bersedih, kesal dan kecewa, sedangkan ujian itu sebenarnya untuk mengangkat darjat atau keimanan diri. Sesungguhnya kita lupa bahagian itu kerana terlalu asyik dengan kecewa dan akhirnya tenggelam dalam dunia kesedihan.

Sebenarnya hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja mampu mengucapkan syukur apabila diuji. Ini kerana ia memerlukan kekuatan emosi dan keimanan tinggi terhadap setiap yang dilalui. Apakah kita tergolong dalam kalangan mengucapkan syukur saat diuji? Jawablah dengan jujur. Hanya kita yang tahu isi hati sendiri. 

Apabila Aku menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan syurga.”– HR Imam Bukhari.

Hayati benar-benar janji Allah SWT ini. Bukankah sepatutnya ujian menambahkan keyakinan kita kepada Pemberi ujian? Bukannya kekecewaan yang berpanjangan sehingga merosakkan iman dan takwa yang selama ini kukuh di dada. Yakinlah, ujian bukan untuk menyusahkan, bahkan ia merupakan jentikan kasih sayang daripada-Nya kepada kita.

Ada yang bertanya, mengapa dia yang harus laluinya. Bukan orang lain?

Kerana kita yang terpilih untuk kembali kepada-Nya. Beruntunglah kerana dipilih berbanding berjuta-juta umat lain yang masih alpa dalam kesesatan. Dan disebabkan Allah SWT itu Penyayang, maka dijentiknya kita dengan ujian lembut agar kita tidak terus berada dalam dunia yang penuh kepalsuan.

Saat itu hanya suara kita yang didamba-Nya. Hanya rintihan kita yang mahu didengari-Nya. Moga saat kita mengadu itu, Allah SWT membuka tangan-Nya dan menyambut setiap doa yang kita sebut dengan penuh kasih sayang.

Ya, saat itu kasih sayang-Nya hanya untuk kita, iaitu hamba yang mahu kembali kepada-Nya.

Mulai hari ini, bangunlah. Usah lagi berada di takuk kesedihan yang hanya merosakkan iman yang semenangnya hanya sejengkal cuma. Jangan lagi biarkan diri kita terjerat dalam situasi kekecewaan yang berpanjangan. Ayuh! Move on! 

Berdoa dan berdoalah tanpa henti agar Allah SWT sentiasa memberi kekuatan di hati untuk menghadapi setiap cubaan yang mendatang. Andai dirasa masalah yang menimpa itu besar, maka kita harus cepat-cepat sedar yang pemberi ujian itu lebih besar bahkan Maha Besar.

“Jika masalah kita sebesar kapal, yakini bahawa nikmat Allah SWT itu sebesar lautan.”

Nikmati hidup dengan ujian itu lebih manis berbanding hidup tanpa rahmat dan kasih Tuhan.

Tiada ulasan: