Selasa, 24 Januari 2017

REZEKI TETAP SEMPIT DI MANA SILAPNYA





BERDOA  mohon murahkan rezeki sudah, bertahajud setiap malam sudah, solat dhuha setiap hari sudah, bersedekah banyak pun sudah, bersilaturahim dengan ramai orang pun sudah, menolong orang yang kesusahan pun sudah, tapi rezeki tak datang-datang juga!

Ingatkan, bila sudah buat semua itu, rezeki akan datang mencurah-curah tambah pula ekonomi sekarang makin tidak menentu. Harga barang semua naik. Entah esok entah lusa, silap haribulan kena buang kerja sebab tempat kerja nak kurangkan pekerja.

Sebenarnya  masalah inilah yang dirasai ramai orang.

Setelah semua usaha dilakukan, jalan terkahir ialah berdoa kepada Allah SWT memohon simpati. Tetapi apa yang dipohon terasa jauh dan semakin jauh.

Berbanding dengan jiran sebelah, bukan beragama Islam. Dahlah tidak beriman, jauh sekali nak berdoa, bersedekah, nak tahajud dan solat duha usah haraplah. Tetapi semakin hari perniagaannya semakin maju, rumah masih besar, kenderaan makin menjalar.

Kita yang tinggal berjiran, pagi petang, siang dan malam tak miss ke masjid, tak juga kaya seperti mereka. Di mana silapnya?

Jangan marahkan jiran sebelah! Jangan marahkan diri sendiri! Jangan marahkan Allah SWT yang berikan  rezeki ‘seciput’ pada kita.

Mungkin jiran sebelah yang bukan Islam itu, usahanya lebih. Siapa yang rajin usaha, dia akan dapat lebih.

“Habis! Aku ni malas berusahalah? Sebab tu hidup susah?”

Jangan fikir begitu! Ya, mereka yang bukan Islam tu kaya, rumah besar dan segala-galanya ada. Tapi kena ingat! Mereka dapat semua itu hanya di dunia saja. Bila mereka mati, apa amalan yang mereka nak jadi sandaran?

“Kita ni walaupun hidup susah, paling tidak ada juga amalan yang hendak dibentangkan di akhirat kelak. Mereka sudah sah ke neraka kerana tak beriman. Tapi kita jangan harap kaya di dunia, tapi biarlah kaya di akhirat!”

Jadi, mereka yang selalu bertahajud, bersedekah dan apa juga amalan untuk dimurahkan rezeki, jangan putus asa dengan rahmat Allah SWT. Setaip amal kebaikan aka nada balasan, tidak di dunia pasti akan dapat di akhirat.

Jika Allah SWT makbulkan doa kita itu, bersyukurlah. Jika tidak pasti ada sebabnya.
Siapa yang dapat beri jaminan jika diberikan kekayaan harta umpamanya, tidak akan lupa diri?

Tidak mustahilkah jika dilimpahi kekayaan, surau dan masjid pun dah kenal lagi, riba dan sedekah dah tak dapat nak bezakan,  bersilaturahim dan bermusuhan sudah kira sama sahaja, membaca al-Quran dan membaca facebook lebin baik berfacebook, zikir dan kelab malam sudah dikira adik beradik!

Tidak ada sesiapa boleh beri jaminan jika dilimpahi kekayaan, akan menjadi manusia yang semakin rajin beribadah, semakin banyak bersedekah, semakin banyak membantu orang, tidak sombong dan sebagainya?

Allah SWT tidak mahu kita kaya sebab DIA tahu, kita akan lupa diri dan akan banyak dosa. Untuk itu, cukuplah dengan apa yang Allah SWT asalkan tidak merempat.
Apa yang kita mahu, tidak cepat, lambat laun Allah SWT akan kabulkan. 

Percayalah…



Tiada ulasan: