Rabu, 25 Januari 2017

JANGAN SAMPAI REZEKI DIRENGGUT ALLAH



INI kisah benar! Nama sebenar dirahsiakan.
Sebelum ini dia seorang ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki beberapa buah syarikat serta mempunyai dua buah rumah banglo dan beberapa buah kereta mewah. Dia memang rajin bekerja. Mulanya dengan berniaga secara kecil-kecilan kemudian berkembang sehingga mempunyai sebuah bangunan sendiri dan pekerjanya hampir seratus orang.
Tetapi itu cerita sepuluh tahun dahulu. Sekarang ahli perniagaan yang dimaksudkan itu berjualan nasi lemak setiap pagi di satu simpang, tidak jauh dari rumah sewanya. Sesiapa yang mengetahui kisah  hidupnya, sudah pasti terkejut. Bagaimana seorang ahli perniagaan yang memiliki kemewahan tetapi akhirnya berjualan nasi lemak di simpang jalan?
Setelah diselidiki dan dikorek rahsia, akhirnya dia setuju bercerita asalkan tujuannya untuk dijadikan ikhtibar. Kisahnya bermula ketika perniagaannya pesat berkembang. Jika dahulu dia rajin ke surau tetapi sejak perniagaan semakin maju, dia melupakan teman-teman di surau kerana sibuk menguruskan perniagaan.
Satu ketika, seorang ustaz yang menyedari perubahan ahli perniagaan itu menegurnya supaya rajin-rajinlah ke surau, di samping melaksanakan zakat dan menginfakkan sedikit sumbangan untuk membesarkan surau. Tetapi dia tidak mengendahkannya. Alasannya berbagaI-bagai. Akhirnya ke surau tidak, berzakat juga tidak, untuk menginfakan harta bagi  pembangunan surau juga tidak.
Dipendekkan cerita, masa terus berlalu. Ketika perniagaan semakin berkembang, seorang pelabur telah mempelawa melabur dalam syarikatnya dengan janji akan membawa keuntungan berlipat-ganda. Dia mengeluarkan sebahagian hartanya untuk melabur tetapi akhirnya dia ditipu apabila wamg pelaburanya dilarikan ke luar negara.
Mulai saat itu perniagaannya mulai goyah, rumahtangga bergolak apabila isterinya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Akhirnya isterinya diceraikan. Para pekerjanya pula ada yang melakukan penyelewengan dan dia dihujani dengan hutang piutang. Untuk menjelaskannya dia terpaksa menggadaikan satu persatu hartanya dan sehingga hartanya habis, hutang tidak dapat dilangsaikan sepenuhnya.
Apabila menyedari perniagaannya goyah, ramai pekerjanya berhenti seorang demi seorang sehingga akhirnya dia menutup syarikat setelah menggadaikan rumah, kereta dan kehilangan isteri. Kemudian dia berpindah ke tempat lain dengan menyewa sebuah rumah teres. Untuk meneruskan hidup dia terpaksa berjualan nasi lemak di simpang jalan setelah berkahwin lain dengan seorang janda beranak satu.
Dia memiliki semula semangat untuk hidup apabila ustaz yang menasihati dahulu muncul  setelah mengetahui keadaan sebenar. Kepada ustaz itu dia menceritakan secara jujur, dia tidak pernah membayar zakat perniagaan apatah lagi untuk bersedekah.
Apabila sudah berlaku ujian besar di dalam hidupnya, barulah dia menyedari kata-kata ustaz itu dan memulai bersedekah walaupun penghasilan menjual lemak tidak seberapa tetapi hatinya mulai tenang. Apabila waktu maghrib, dia mampu berjemaah di surau dan menghadiri kuliah agama.
Beginilah azabnya apabila orang tidak mahu berzakat ataupun bersedekah. ALLAH berkuasa memberi rezeki dan kekayaan kepada sesiapa sahaja dan ALLAH juga berkuasa menarik kembali rezeki yang diberikan apabila manusia tidak mahu bersyukur.
Berbeza dengan seorang peniaga kecil ini yang mempunyai kesedaran. Peniaga kecil ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ini sambil bersedekah. Perniaga kecil ini membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan tetapi sebahagian wang pinjaman digunakan untuk bersedekah manakala sebahagiannya lagi untuk digunakan untuk modal perniagaan.
Lazimnya orang akan bersedekah setelah mendapat hasil keuntungan tetapi berbeza dengan peniaga kecil ini. Dia menyisihkan 2.5 peratus untuk bersedekah. Tujuannya supaya modal yang digunakan itu akan mendapat keberkatan  ALLAH. Dia amat yakin modal yang diperolehi dengan bersedekah dahulu pasti akan dijamin kejayaannya.
Apa yang dilakukan oleh peniaga kecil ini sememangnya   membawa keberhasilan. Setahun selepas itu, dia dapat memperbesarkan lagi perniagaannya di samping dapat melunaskan pinjaman bank. Walaupun perniagaannya semakin maju, dia tidak lupa untuk terus bersedekah kerana niat asalnya dia mahu menjalankan perniagaan dengan mendapat redha ALLAH di samping mahu bersedekah dan membantu orag lain.
Beberapa tahun kemudian, peniaga kecil ini dapat membuka cawangan perniagaannya di tempat lain. Dia sangat yakin, ALLAH tidak akan mengurangkan rezekinya meskipun dia banyak bersedekah malah hasilnya, ALLAH semakin banyak memberi rezeki dan dia memperbanyakan lagi sedekahnya.
Daripada dua perbandingan di atas, kita dapat buat kesimpulan. Sedekah dan zakat dapat membersih dan memperbanyakan rezeki. Cuba bandingkan dua kawasan kebun bersebelahan. Kebun A dan kebun B ditanam dengan tanaman yang sama. Kebun A setelah ditanam, tidak dijaga, tidak dibaja dan penuh dengan semak samun sehinggakan tidak nampak apa yang ditanam.
Sebaliknya kebun B, pekebunnya sentiasa membersihkan kebunnya. Dia membaja, meracun, menebas dan tidak membiarkan lalang tumbuh. Tidak lama kemudian pokok yang ditanam mengeluarkan hasil pada waktunya dan pengeluarannya bertambah lalu membawa keuntungan, berbanding dengan kebun B yang tidak menghasilkan apa-apa.
u/p:
Kisah ahli perniagaan pertama asalnya penjual nasi lemak di tepi jalan. Apabila berkembang, dia membuka sebuah restoran di sebuah bandar. Apabila semakin maju, dia membuka beberapa cawangan. Dia juga ada membuka restoran makanan barat di sebuah pusat membeli belah terkemuka. Dia juga ada perkhidmatan katering. Ketika perniagaan naik, dia diuji. Seorang kenalan lama minta dia melabur dan kilang yang baru didirikan. Oleh kerana wangnya  banyak, dia melabur bertujuan untuk tambah harta. Dia setuju melabur dalam kilang membuat barangan plastik. Oleh kerana tidak tahu ilmu apa-apa dalam industri perkilangan, dia mudah sahaja ditipu. Harta habis, hutang keliling pinggang, bisnes lingkup. Akhirnya kembali seperti asal, menjual nasi lemak di tepi jalan.
Semoga ia menjadi ikhtibar.



Tiada ulasan: