SESETENGAH kita lebih suka meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu
berbanding berusaha sendiri. Ini kerana, anggapan kita, meminta itu lebih mudah
untuk meraih simpati daripada orang lain.
Hakikatnya, perbuatan meminta-minta ini tidak digalakkan kerana Allah SWT
mahu hamba-Nya berusaha. Disebabkan itulah, Dia telah mengurniakan pelbagai
nikmat seperti badan yang sihat, tenaga, akal fikiran, pancaindera yang
sempurna untuk memudahkan kita berusaha mencari rezeki. Tetapi masih ada yang
mahu mencari jalan mudah dengan meminta-minta.
Sebenarnya banyak hadis yang memotivasikan kita supaya berusaha dan
melarang meminta-minta. Antaranya:
Daripada
Zubair bin Awwam, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan
pergi ke bukit mencari kayu api lalu dipikul di belakangnya untuk dijual
sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik
daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi atau tidak.”-
HR Bukhari.
Hadis ini sebenarnya mahu memotivasikan kita supaya berusaha dengan
tenaga sendiri untuk mendapatkan apa dihajati. ‘Membawa tali-tali dan pergi ke
bukit’ membawa maksud supaya berusaha.
Bayangkanlah jika kita hanya duduk diam,
tidak berbuat apa-apa, sudah pasti kita tidak akan beroleh apa-apa. Hakikatnya, Rasulullah
SAW juga mencela orang yang meminta-minta.
Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW
bersabda, “Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang lain sehingga
nantinya dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat
daging pun di wajahnya.”- HR Bukhari.
Meminta-minta hanya dibenarkan kepada tiga perkara sahaja, itu pun jika
dalam keadaan darurat. Iaitu:
Daripada Qabishah Mukhariq, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Qabishah! Sesungguhnya
meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu daripada tiga orang iaitu
pertama seseorang yang menanggung hutang orang lain, dia boleh meminta sampai
melunaskannya kemudian berhenti, kedua seseorang yang ditimpa musibah yang
menghabiskan hartanya boleh meminta sampai mendapatkan semula sandaran hidup
dan ketiga seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang
yang berakal dari kaumnya mengatakan Si fulan sudah ditimpa kesengsaraan hidup,
ia boleh meminta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain daripada
tiga hal itu adalah haram dan orang yang memakannya adalah memakan yang
haram.”- HR Muslim.
Ingat, elakkan
diri daripada meminta-minta.
Gunakan keupayaan yang ada untuk mencari rezeki dengan
titik peluh sendiri. Setiap manusia juga telah dijamin rezeki oleh Allah SWT
sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran Surah Hud ayat 6 bermaksud, “Dan
tiada ada satu pun makhluk yang melata di bumi melainkan Allah yang menjamin
rezekinya dan mengetahui tempat menetap dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu
tertulis di dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).”
Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing, gunakannya untuk
berusaha mencari rezeki.
Yakinlah, usaha daripada hasil titik peluh sendiri itu
lebih mulia berbanding meminta-minta dan mengharapkan simpati orang lain.
Sekiranya setiap kita menggunakan tulang empat
kerat untuk berusaha, sudah pasti tidak ada orang yang hidup dalam serba
kekurangan. Tidak ada orang yang sentiasa menadah tangan mengemis untuk
mendapatkan sesuap nasi.
Percayalah,
Allah itu Maha Adil. Setiap usaha yang dilakukan, tiada nikmat yang tidak
pernah dihulurkan. Redha dan tawakal, pastikan perkara ini menjadi tunjang
kehidupan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan