Selasa, 19 Januari 2016

BERSYUKUR APABILA DIUJI



DALAM  hidup ini, semua manusia tidak terlepas daripada menghadapi ujian. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menerima ujian iu dengan positif? Dalam erti kata lain menerima ujian itu dengan berlapang dada. Tidak dinafikan ada di kalangan kita apabila ditimpa ujian, mereka akan berkeluh kesah.

            Apabila kita sudah dididik sejak awal, supaya bersabar dan berfikiran positif apabila berhadapan dengan apa juga ujian, kita akan tenang menghadapinya. Akibat bersabar, bertenang dan berlapang dada itu akhirnya ujian itu dapat diatasi dengan mudah kerana adanya rasa syukur.

            Ya, kadang-kadang, kita juga berasa pelik, mengapa ada sesetengah orang boleh menghadapi ujian yang berat seolah-olah tidak ada masalah langsung. Sedangkan sesetengah yang lain, batu berhadapan dengan ujian yang kecil seolah-olah ujian itu sudah menimpa keseluruhan hidup mereka.

Rasulullah SAW bersabda, “Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. – HR Riwayat Muslim.

Amat sedikit di antara kita yang sanggup bersabar dan bersyukur apabila ditimpakan sesuatu ujian.  Kebanyakannya akan mengeluh dan pelbagai reaksi lagi apabila ALLAH SWT menimpakan ujian sedangkan ujian itu sebenarnya untuk mengangkat darjat atau keimanan mereka.

Hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang sanggup untuk menucapkan syukur apabila ditimpa sesuatu ujian. Sepatutnya sesuatu ujian yang ditimpakan itu dijadikan satu motivasi untuk mengukur tahap kesabaran, keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT.            Untuk menambahka motivasi kepada kita apabila berhadapan dengan sesuatu ujian, cuba hayati firman ALLAH SWT dalam surah Az-Zumar ayat 10 bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang memberikan motivasi kepada kita apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran. Di antaranya surah al-Baqarah ayat 153 bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar.”

Manakala dalam hadis pula, Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT telah berfirman: “Apabila saya menguji seorang hamba-KU dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan syurga.” – HR  Imam Bukhari.

            Apabila ditimpa sesuatu ujian, hayati betul-betul ayat dan hadis di atas. Ia akan menambahkan keyakinan serta tidak akan menyalahkan ALLAH SWT kita yakin, apa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya.             Sebagai mukmin sejati, perlu diingat apa yang dinamakan ujian itu bukanlah sesuatu yang berbentuk menyusahkan hidup kita.  Kesenangan, kemewahan, kebahagian juga sebenarnyamerupakan suatu ujian dari ALLAH SWT.

            Bagaimanapun bagi mereka yang nipis imannya serta kurang bertakwa sudah pasti akan terjerat dengan situasi ini. Mereka idak akan faham mengapakah ALLAH SWT menimpakan ujian ke atas mereka.

            Namun bagi mereka yang beriman dan bertakwa, ujian iu sebenarnya satu motivasi kepada mereka supaya tidak mudah berputus asa. ALLAH SWT yang mereka sembah setiap hari, kepada-NYAlah mereka memohon pertolongan. Mereka yakin, ALLAH SWT akan memberikan pertolongan apabila kita memohon doa kepada-NYA.

            Sehungan itu, ALLAH SWT sudah mengingatkan dalam surah al-Munafikun ayat 11 bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
            Semoga kita tidak mudah lalai dan berputus asa apabila ditimpakan ujian.

Tiada ulasan: