Selasa, 19 Januari 2016

MUDAHNYA MENJADI PENGHUNI SYURGA



SEMUA yang hidup di dnnia ini, sememangnya sangat mengharapkan akan menjadi penghuni syurga pada hari akhirat kelak. Bagaimanapun sesetengah orang berkata sebenarnya tidak susah hendak menjadi penghuni syurga. Namun ada juga yang mengatakan hendak masuk ke syurga tidak semudah yang disangka. Banyak cabaran dan dugaan mesti dihadapi.
Kedua-dua kenyataan di atas sememangnya tidak boleh dinafikan. Umpama seorang pelajar yang mahu lulus peperiksaan. Ia akan menjadi mudah apabila dia berusaha dan tekun belajar bagi memastikan mendapat kejayaan.
Tetapi ia tidak semudah itu bagi mereka yang malas belajar dan tidak mahu berusaha semata-mata hanya bergantung kepada nasib. Begitulah perumpamaannya sekiranya menganggap mudah atau sukar untuk memasuki syurga.
Dalam al-Quran sendiri sudah dinyatakan, bagaimanakan cara-cara untuk menjadi penghuni syurga dan bagaimanakah sekiranya memilih untuk menjadi penghuni nereka. Semua bergantung kepada pemilihan manusia sendirinya. Sila hayati hadis di bawah ini. Semoga ia memberikan motivasi kepada sesiapa yang ingin menjadi syurga, apakah kreterianya.

Direkodkan daripada Abu Hurairah, seorang Arab Badwi dari pendalaman bertemu Rasululah SAW kemudian dia berkata, “Wahai Rasulullah, ajarkan kepada saya perbuatan yang sekiranya saya melaksanakannya, akan membawa diri saya ke syurga.” Rasulullah SAW kemudian berkata, “Beribadah kepada ALLAH SWT, dirikan solat wajib, bayarlah zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.” Orang Arab Badwi itu mengatakan, “Demi ALLAH SWT  yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.” Semasa orang Arab Badwi itu berlalu pergi, Rasulullah SAW  berkata, “Siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihat orang itu.”-  HR  Bukhari.
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW sudah menggariskan jawapan kepada orang Arab Badwi dengan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan bagi mendapatkan syurga. Perkara yang disebutkan oleh Rasulullah SAW itu bukanlah ibadah-ibadah tambahan tetapi ibadah utama  yang menjadi rukun Islam.

Bagi seorang mukmin sejati, tidakkah kita berasa teruja dengan jawapan itu? Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu bukanlah sesuatu yang asing dan berat kepada mereka yang bertakwa. Tetapi ia akan menjadi bebanan atau batu penghalang kepada mereka yang enggan mematuhi perintah ALLAH SWT.

Perkataan orang Arab Badwi itu,  “demi Allah yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu,” jelas bahawa  orang Arab Badwi itu teruja dengan ganjaran syurga apabila dia berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Bagi mereka yang tidak pernah melakukan ibadat sebagai yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu, sudah tentu ia tidak akan teruja sebaliknya ia menjadi satu bebanan.

Sesudah Rasululla SAW memberikan ciri-ciri calun penghuni syurga ternyata, apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu ada pada dalam diri orang Arab Badwi itu. Untuk itu ia bukanlah satu bebanan malah lelaki Arab Badwi itu termotivasi dengan penjelasan Rasulullah SAW itu.

Para sahabat, malah kita sendiri sudah pasti akan termotivasi apabila mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu. Dalam hadis itu, Rasulullah SAW telah memberikan contoh bahawa orang Arab Badwi itu merupakan model calun penguin syurga dan contohilah apa yang telah dilakukannya.

Berdasarkan kepada hadis di atas, sememangnya tidak sukar untuk menjadi penghuni syurga sekiranya sebagai orang yang beriman sentiasa mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan ALLAH SWT.

Apa yang menjadi ingauan sesetengah orang yang mengatakan ‘bukan mudah untuk menjadi penghuni syurga’ adalah kenyataan mereka yang selalu melanggar perintah ALLAH SWT. Apabila diminta untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, mereka melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah apabila mereka diminta untuk meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan, mereka tanpa segan silu melakukannya.

Orang yang mengatakan sukar untuk menjadi penghuni syurga sebenarnya tidak yakin dengan janji ALLAH SWT.   Orang yang tidak yakin dan meraguinya sudah pasti akan dilorongkan jalan kesesatan sedangkan jalan kebenaran sudah disediakan. Tetapi mereka sengaja memilih jalan kesesatan. Itu sebenarnya pilihan mereka. Sekarang sudah jelas, untuk menjadi penguhi syurga, inilah laluannya dan penghuni neraka inilah laluannya. Fikirkanlah.

Tiada ulasan: