Selasa, 19 Januari 2016

CARILAH HARTA TETAPI JANGAN SAMPAI MELALAIKAN



TIDAK dinafikan setiap umat akan diuji dengan pelbagai ujian sesuai dengan tahap kemampuannyan diuji. Namun dalam banyak-banyak ujian,  harta kekayaan merupakan ujian yang amat berat. Walaupun ada orang beranggapan harta kekayaan itu satu nikmat dan pemberian ALLAH SWT tetapi jangan lupa, ia sebenarnya satu ujian kepada mereka.

 Dalam hidup ini, tidak salah untuk kita mencari sebanyak mna harta asalkan ia dibelanjakan ke jalan yang dibenarkan agama. Namun agama menegah sekiranya kita mencari harta kemudian menunjuk-nunjuk dengan rasa raik dan  kemudian membelanjakan ke arah kemaksiatan.

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan.”  - HR Imam Tirmizi. 

Hadis ini sangat ringkas tetapi banyak mengandungi makna. Hadis sini sebenarnya memberikan motivasi kepada kita  supaya mencari rezeki. Tetapi jangan kerana erlalu mencari dan mendapat banyak rezei, manusia menjadi lalai dan melupaakan tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT.

 Dalam surah al-Anfal ayat 28, ALLAH SWT sudah memberikan peringatan, meksudnya, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah s.w.t. jualah pahala yang besar.”

Sejauh manakah sebenarnya kita menyedari bahawa harta kekayaan itu satu ujian kepada kita? Di antara  ujian-ujian yang Allah SWT berikan kepada orang-orang yang beriman ialah harta benda dan anak pinak. Allah SWT  mengetahui di antara kelemahan manusia melalui kecintaan kepada harta kekayaan dan anak-anak.

Harta-harta akan menjadikan satu ujian apabila dengan harta yang banyak itu menjadikan manusia menjadi sombong, riak, bangga diri kerana memiliki kelebihan berbanding orang lain yang jauh miskin. Tambah pula jika harta itu digunakan untuk menindas yang lemah untuk mmperolehi sesuatu.

Harta yang banyak akan menjadi lebih parah jika tidak digunakan ke jalan yang dredai ALLAH SWT. Sepatutnya harta yang banyak itu digunakan untuk membayar zakat, menolong orang yang tidak berkemampuan, bersedekah atau kebajikan lain. Harta ini akan menjadi ujian kepada pemiliknya jika tidak menggunakan harta ke jalan yang betul. 

Oleh sebab itu Allah SWT mengingatkan supaya berwaspada terhadap kurniaan harta kekayaan dan anak-pinak kepada mereka yang mana semua itu adalah bertujuan untuk menguji kewibawaan dan kecintaan kepada Allah SWT dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya.

Melalui ujian tersebut, Allah SWT. mahu melihat sejauh mana orang-orang beriman bersyukur dan menunaikan hak serta kewajipan mereka walaupun terlalu sibuk mencari harta benda dan membesarkan anak-anak. Allah s.w.t. melarang manusia melakukan khianat kepada-Nya, Rasul-Nya dan amanah-Nya disebabkan kecintaan kepada anak-anak dan harta benda.

ALLAH SWT melarang keras manusia mengkhianati penciptanya  malah banyak ayat dalam al-Quran yang mengingatkan supaya berhati-hati dengan kemewahan dunia dan anak-anak. Sesiapa yang berjaya dengan ujian tersebut, ALLAH SWT akan mengurniakan ganjaran yang amat besar di akhirat.

Bagi mereka yang gagal dalam ujian harta ini, harta mereka akan ditarik balik oleh ALLAH SWT. Tentu kita pernah melihat bagaimana seorang yang asalnya kaya raya tetapi kemudian jatuh miskin kerana takbur, sombong, tidak mahu bersedekah dan berzakat.

Mengapakah agaknya ALLAH SWT ingin menguji hamba-hambaNya yang memiliki harta ini? Bagaimana seseorang itu boleh bermotivasi untuk meningkatkan iman sekiranya yang menanti adalah ujian yang berat-berat semuanya?

Perhatikan peringatan ALLAH SWT dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”

ALLAH SWT sebenarnya ‘berurusniaga’ dengan orang-orang mukmin berkaitan dengan harta. Urusniaga ini sama sebagaimana urusan jual beli sesama manusia.  Ada perkara-perkara yang Allah beli dengan harga yang murah, dan ada perkara  yang Allah beli dengan harga yang mahal. Tujuannya ALLAH SWT  mahu menguji para hamba-NYA yang beriman kerana Allah ingin membayar mereka dengan harga yang mahal. Ada tujuh lapisan syurga dan Allah sediakan untuk membayar para hambaNya dengan lapisan tertinggi sesuai dengan iman yang ditawarkan. Dan di antara tanda orang yang beriman adalah mereka itu bersyukur apabila menerima nikmat dan sabar apabila menerima musibah. 

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia;  dan amal-amal soleh yang kekal itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Dalam aurah al-Munafikun ayat 9, ALLAH SWT menegaskan bermaksud, “Wahai orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. 




Tiada ulasan: