ADA orang
beranggapan kesulitan dan kesusahan hidup sehari-harian merupakan musibah
daripada Allah. Allah murka dengan mereka lalu ditimpakan berupa kesulitan
hidup. Walaupun pelbagai usaha dilakukan tetapi keadaan hidup tidak juga
berubah malah musibah saling bertimpa-timpa.
Bayangkanlah hidup sudahlah susah,
anak pula ramai. Ada pula yang menghidapi pelbagai penyakit. Si bapa tiada
kerja tetap, si ibu pula tiada bekerja, makan dan minum hanya ala kadar asalkan
kenyang. Sebenarnya ramai yang menghadapi masalah seperti ini. Perhatikanlah di
sekeliling kita.Tetapi apakah ini musibah juga?
Walauapapun, jangan cepat buruk
sangka dengan Allah. Jika kita berfikiran positif, dalam surah Al-Insyirah ayat
5-6, Allah sudah menyatakan maksudnya, “…Kerana
sesungguhnya sesudah kesulitan
itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan.”
Apabila ditimpakan musibah, bersabar
dan redha merupakan kunci utama penyelesaian segala masalah. Rasulullah SAW
bersabda, “Hampir sahaja kemiskinan berubah menjadi kekufuran.” – Hadis riwayat
At-Tabrani.
Hadis ini mengingtkan sekiranya
manusia tidak redha dengan kemiskinan yang dialami, ada kemungkinan ia kufur
kerana tidak yakin dengan qada dan qadar Allah. Orang yang yakin, ada
kesenangan setelah melalui kesulitan tidak akan berubah keimanannya. Mereka sabar dengan musibah dan berharap
selepas itu kesenangan akan hadir.
Percayalah, Allah tidak akan
sewenang-wenangnya memberikan kesenangan tanpa terlebih dahulu memberikan
ujian. Apabila berjaya menghadapi ujian, kesenangan itu merupakan satu hadiah
kemenangan. Tetapi apabila musibah datang silih berganti sebelum sempat
menikmati kesenangan, bukan bermakna kesenangan tidak akan datang. Allah
mengumpulkan sebanyak mana musibah yang ada untuk memberikan ganjaran yang
lebih banyak.
Adakalanya hati kecil berdetik,
bilakah musibah ini akan berakhir, tidak tertanggung rasanya bahu memikul dan
pintu kesabaran tidak mampu terbuka lagi. Apabila bermacam-macam prasangka
buruk menjelma, hati dan fikiran sering dikuasai oleh syaitan. Jika syaitan
berjaya menguasai hati, musibah kecil dianggap terlalu besar. Akhirnya fikiran
menjadi negatif dan sifat putus akan menjelma, akhirnya terputuslah rahmat
Allah.
Setiap kita wajar sekali memikirkan
akujanji (doa iftitah) yang sering dilafazkan ketika bersolat dan jangan
menganggap akujanji itu hanya sekadar ucapan di mulut tetapi tidak meresap ke
dalam hati. Jangan pula dalam solat, hati berkata lain dan apabila di luar
solat, hati juga menjadi lain.
Sila perhatikan janji Allah dalam
surah Al-Baqarah ayat 214, Allah mengingatkan, “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal
belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti telah berlaku kepada orang-orang yang terdahuku daripada kamu.
Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan wabak penyakit,
serta digoncang oleh ancaman bahaya musuh sehinggalan berkata Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada beesamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan
Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Sebenarnya tidak ada jalan lain
selain kembali kepada Allah sebagai pemberi musibah. Sudah tentu
penyelesaiannya musibah hanya ada pada Allah. Untuk mendapatkannya manusia
perlu mendekatkan dirim kepada Allah dengan berdoa dan meningkatkan amal
ibadah, barulah kesenangan itu datang.
Seterusnya dalam ayat 153 surah
Al-Baqarah, Allah menegaskan lagi yang
bermaksud, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan
(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang kerana sesungguhnya Allah
bersama-sama orang yang sabar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan