Selasa, 20 Januari 2015

BERSIKAP ADIL DALAM SEMUA URUSAN



BERLAKU adil di dalam Islam membawa  maksud tidak menyebelahi mana-mana pihak atau memberi hak yang sama rata di antara kedua belah pihak atau lebih. Di dalam apa juga urusan pembahagian atau keputusan, keadilan sangat dituntut supaya pihak yang terbabit berpuas hati.           Sikap tidak berpuas hati lazimnya berpunca daripada ketidakadilan dalam memutuskan sesuatu perkara. Berlaku adil adalah salah satu prinsip Islam yang dijelaskan dalam al-Quran mahupun hadis. Malah apabila sesuatu perkara dibangunkan atas nama keadilan, tidak akan timbul sikap diskriminasi.
Perbuatan supaya sentiasa berlaku adil ada ditegaskan dalam al-Quran surah An-Nahl ayat 90, yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH menyuruh (kalian) berlaku adil, berbuat kebajikan dan memberi kepada kaum kerabat. Dan ALLAH melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kalian agar kalian dapat mengambil pelajaran.”
Memberi keadilan terletak di tangan orang yang berkuasa memberi keadilan seperti hakim misalnya atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk memutuskan sesuatu perkara. Walaupun arahan supaya berlaku adil dalam semua urusan ada dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis tetapi masih berlaku juga sikap ketidakadilan dalam memutuskan sesuatu perkara.
Perkara ini terjadi apabila terdapat kepentingan di antara orang yang memberi kata putus dan orang yang menerima keputusan apabila yang menerima keputusan melebihi daripada seorang. Oleh sebab itulah, seseorang yang ingin menjadi pemberi keadilan untuk memutuskan sesuatu perkara supaya tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Ini ditegaskan dalam al-Quran surah an-Nissa ayat 58, ALLAH berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kalian menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya ALLAH memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Berlaku adil dalam memutuskan sesuatu perkara sebenarnya berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Seseorang yang beriman sudah tentu akan berlaku adil kepada orang yang diadili. Belum dikatakan sempurna iman seseorang apabila mereka tidak berlaku adil atau berat sebelah dalam memutuskan sesuatu perkara.
Apabila seseorang yang tidak beriman, mereka tidak akan dapat berlaku adil dalam memutuskan sesuatu perkara. Justeru, hanya mereka yang beriman sahaja layak untuk menjadi penguasa yang boleh memutuskan sesuatu perkara.
ALLAH sendiri menegaskan dalam al-Quran surah an-Nisa ayat 135 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana ALLAH, biarpun terhadap diri  sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Jika ia kaya ataupun miskin, sebenarnya  ALLAH lebih tahu apa sebenarnya berlaku. Oleh itu janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar belitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya ALLAH  Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan.”
Ketika mengadili, tidak wajar wujud diskiriminasi meskipun orang yang diadili adalah musuh sendiri kerana mereka juga berhak mendapat keadilan. Selain berkait rapat dengan soal keimanan, mereka yang  memberi keadilan mestilah orang yang bertakwa, bukan bertindak mengikut hawa nafsu. 
Ini dijelaskan sendiri dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 8 bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana ALLAH, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kamu membenci terhadap sesuatu kaum, menyebabkan  kamu tidak  berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Tanda ALLAH  meminta supaya berlaku adil kepada semua, ada dijelaskan pada satu kisah di mana Rasulullah s.a.w pernah memenangkan Ammar bin Yassar ketika dia berselisih faham dengan Khalid bin al-Walid sedangkan Khalid al-Walid merupakan orang yang dihormati dan Ammar seorang bekas hamba.  Begitu juga Rasulullah s.a.w   pernah menyalahkan Abu Zar al-Ghifari ketika beliau bermasalah dengan Bilal bin Rabah sedangkan Abu Zar juga seorang yang dihormati manakala Bilal juga adalah bekas hamba.
Pada satu kisah yang lain pula diceritakan, pada satu ketika seorang wanita dari keluarga bangsawan suku al-Suku al-Makhzumiyah bernama Fatimah al-Makhzumiyah didakwa mencuri ketulan emas. Ini membuatkan pembesar suku kaum berkenaan sangat malu dengan perbuatan itu. Apatah lagi Rasulullah s.a.w akan mengadili masalah itu.
Jika didapati benar Fatimah al-Makhzumiyah melakukan perbuatan itu, dia akan menerima hukuman potong tangan. Ini sudah tentu akan mengaibkan lagi suku kaum al-Makhzumiyah kerana mereka beranggapan kaum bangsawan itu tidak wajar menerima keluarga yang cacat  anggota badan.
Justeru itu kedengaran permintaan supaya hukum potong tangan diringankan atau itu tidak dilakukan. Suku kaum itu kemudiannya menyediakan sejumlah wang  untuk tujuan itu supaya hukuman itu tidak dilakukan.
Mereka kemudian meminta Usamah bin Zaid, cucu Rasulullah s.a.w dari anak angkatnya Zaid bin Haritsah digunakan sebagai orang perantaraan  oleh suku kaum al-Makzumiyah untuk memujuk Rasulullah s.a.w membatalkan hukuman itu. Usamah digunakan memandang dia merupakan cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.
Apabila Rasulullah s.a.w mendapat tahu perkara ini, ia mengundang amaran keras dari Rasulullah s.a.w sendiri. Rasulullah s.a.w tetap bertegas jika didapati bersalah hukuman tetap dijalankan meskipun cuba dipujuk oelh cucu kesayangannya.
Rasulullah s.a.w kemudian menegaskan,“Rosaknya orang-orang terdahulu, itu kerana ketika yang mencuri adalah orang yang dihormati, lalu  mereka dilepaskan daripada menerima hukuman. Tetapi jika yang mencuri orang yang lemah, mereka pasti akan menerima hukuman. Bahkan, sekiranya  Fatimah binti Muhammad sendiri yang mencuri, sudah pasti  aku sendiri yang akan memotong tangannya meskipun Fatimah itu anakku.”
Begitu tegasnya Rasulullah s.a.w menegakkan keadilan tidak mengira sesiapa sama ada yang melakukan kesalahan itu darah daging atau kaum kerabat sendiri. Jika mereka bersalah, hukuman tetap dilaksanakan. Berbanding dengan keadaan akhir zaman ini, mereka yang bersalah dilindungi dan yang tidak bersalah menerima hukuman.
 Kepada mereka yang tidak berlaku adil yakni mempermainkan hukum ALLAH, hadis yang direkodkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi, ini perlu dijadikan peringatan. Rasulullah s.a.w berkata, “Penegak keadilan itu ada tiga golongan, satu di syurga, dan dua di neraka. Adapun yang di syurga, iaitu orang mengetahui kebenaran dan dia memutuskan berdasarkan kebenaran. Sedangkan di neraka, adalah orang mengetahui kebenaran, namun dia sewenang-wenang dalam memutuskan keadilan. Juga orang yang mengadili dengan kebodohan, maka tempat dia di neraka.”
 Sementara itu kepada mereka yang mempermain-mainkan hukum ALLAH, al-Hakim dan at-Tabrani merekodkan dalam sebuah hadis daripada  Abis al-Ghifari berkata,  “Ada enam perkara yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w dan aku takut jika aku mengalami sebahagiannya, mempermainkan hukum, menumpahkan darah sia-sia, penguasa yang bodoh, banyak  melebihkan kaum kerabat, putusnya silaturahim, dan orang menjadikan al-Quran sebagai seruling yang dilagukan.”
Konsep keadilan bukan sahaja memberi hak yang sama rata atau seimbang tetapi dalam hal meletakkan sesuatu yang kena pada tempatnya yakni orang yang memang berhak diberi kemenangan dan mereka yang berhak mengalah.
Ini ditegaskan dalam al-Quran surah an-Nissa ayat 58 bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH memerintahkan kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan keadilan di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil dan saksama. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar dan Melihat.”
Apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w ketika memberi keadilan wajar dicontohi oleh semua umat Islam. Keadilan sama ada dalam institusi masyarakat ataupun dalam instiusi keluarga wajar diambil perhatian supaya tidak berlaku perpecahan.
Sekiranya berlaku perpecahan, mereka yang memiliki kuasa memberi keadilan wajar untuk mendamaikan mereka yang bersengketa  dan mengajak mereka supaya tidak meneruskannya.
Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Hujerat ayat 9 yang bermaksud, “Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai mereka kembali pada perintah ALLAH. Kalau dia telah kembali, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya ALLAH mencintai orang-orang yang berlaku adil.”
Mereka yang berlaku adil dalam urusan hidupnya akan mendapat naungan ALLAH pada hari kiamat kelak. Ini dijelaskan dalam satu hadis direkodkan okeh Bukhari, Rasulullah s.a.w berkata, “Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh ALLAH  pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu Pemimpin yang adil, pemuda yang selalu ibadah kepada ALLAH, seseorang yang jatuh hatinya kepada masjid dan selalu berjamaah, dua orang yang saling mengasihi di jalan ALLAH, keduanya berkumpul dan berpisah kerana ALLAH, seseorang lelaki yang diajak perempuan untuk berzina, tetapi ia menolak dan mengatakan, "Aku takut kepada ALLAH", seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya daripada tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang mengingati ALLAH ketika bersendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya.”
Dalam hal ini pemimpin yang adil dituntut untuk  memberi keadilan kepada yang berhak yakni mereka yang dipimpinnya. Begitu berat tanggungjawab seorang pemimpin  lantaran tidak seharusnya kita berebut-rebut untuk menjadi pemimpin jika berasakan diri tidak mampu membawa keadilan kepada semua pihak.
Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Kamu  semua adalah pemimpin, dan kamu semua akan dimintai pertanggungjawabkan di atas kepemimpinan kamu.”
Bagaimanakah caranya supaya  kita dapat berlaku adil sewaktu berurusan dengan semua orang? Sememangnya untuk memuaskan hati semua orang bukankah perkara mudah. Tetapi jika kita mahu keimanan kita sempurna, cubalah  lakukan apa yang dijelaskan ini. Mudah-mudahan kita akan menjadi orang yang beriman dan sempurna iman kita sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Tiada ulasan: