Selasa, 20 Januari 2015

IKHLAS DALAM SEGALA AMAL PERBUATAN



DI DALAM solat fardu yang kita tunaikan, lima kali sehari kita akan membaca surah al-Fatihah yang menjadi salah satu syarat sah solat kita. Dalam surah berkenaan ayat  kelima yang bermaksud, “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya Engkaulah kami memohon pertolongan.”
Pada hakikatnya, kita hanya membaca tanpa memahami apakah maksud yang terkandung di dalam ayat berkenaan. Sebanyak 17 kali kita mengulang membaca, tetapi kita tidak merasai apa-apa kelebihan maksud ayat berkenaan. Secara mudah, ayat ini membawa maksud, kita tidak akan menyembah yang lain selain ALLAH dan kita tidak akan memohon kepada yang lain selain ALLAH.
Tetapi apa yang berlaku sekarang, benarkah kita tidak menyembah selain ALLAH dan tidak memohon pertolongan selain ALLAH? Secara amnya, kita masih menyembah ALLAH tetapi bukan perkara pelik apabila ada yang memohon pertolongan selain ALLAH.
Jika perbuatan ini berlaku,  di manakah  letaknya keikhlasan hati seseorang terhadap ALLAH  setelah mengucapkan kalimah itu?  Seseorang hamba yang ikhlas terhadap ALLAH akan ikhlas juga dengan amal perbuatannya. Begitu juga dengan kalimah yang bermaksud,  Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku, semuanya hanya untuk ALLAH?”
Ucapan itu juga yang kita lafazkan sewaktu menunaikan solat lima waktu. Tetapi  apakah kalimah itu dihayati sepenuhnya di dalam kehidupan kita? Ternyata ucapan itu hanyalah di bibir sahaja tetapi tidak melekat di hati kerana apa yang kita lakukan serta tindakan tidak sama dengan apa yang kita lafazkan.
Tidak ikhlas melakukan ibadah, ternyata dilakukan bukan dengan mencari reda ALLAH tetapi kerana kepentingan dunia atau melakukannya kerana terpaksa, ingin dipuji atau untuk membanggakan diri. Dalam sebuah hadis, Rasululah s.a.w pernah menyatakan, ALLAH tidak akan menerima  amalan seseorang kecuali jika dilakukan dengan ikhlas dan mendapat redha ALLAH.
  Perlu diketahui, nilai ibadah bagi seseorang hamba akan diukur berpandukan keikhlasannya di dalam beramal. Setiap amal ibadah yang dilakukan tanpa ikhlas tidak akan memberi makna apa-apa walaupun di mata orang lain mendapat pujian tetapi pujian itu akan menghasilkan rasa riak sekaligus memadamkan rasa ikhlas.
  Mereka yang melakukan amal ibadah dengan ikhlas hati dan dengan reda ALLAH akan merasakan ketenangan dalam hidupnya.  Ini kerana tidak ada sifat untuk menunjuk-nunjuk atau membanggakan diri melainkan untuk mendapat reda ALLAH semata-mata. Mereka tidak pernah memikirkan apakah amal ibadahnya selama ini dipuji orang atau tidak, apa yang penting amal ibadahnya diterima ALLAH.
  Mereka yang ikhlas dalam ibadah akan melakukan secara berterusan manakala mereka yang tidak ikhlas hanya melakukan apabila ada orang melihat dan orang memujinya.      
  Pada satu ketika Rasulullah s.a.w pernah didatangi oleh seorang lelaki yang bertanyakan mengenai ikhlas.
          “Ya Rasulullah, beritahulah kepadaku yang bodoh ini, apakah Rasulullah dapat jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?”
Rasulullah s.a.w menjawab, “Berkaitan dengan ikhlas itu, aku bertanya kepada Jibril a.s, apakah ikhlas itu?” Lalu Jibril a.s menjawab, “Aku bertanya kepada TUHAN Yang Maha Pengasih tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?” ALLAH menjawab, “Ikhlas itu adalah satu rahsia dari rahsia-KU yang AKU tempatkan di hati hamba-hamba-KU yang Kucintai.”
Hadis di atas menjelaskan kepada kita, hanya mereka yang ALLAH cintai sahaja dapat mengetahui apakah maksud ikhlas yang sebenarnya.  Namun bagi kita sebagai hamba ALLAH, ikhlas itu membawa maksud  membersihkan hati untuk melakukan amal ibadah semata-mata hanya kerana  ALLAH.
Dalam erti kata lain, ikhlas ditafsirkan sebagai membersihkan atau menyucikan  hati dalam beribadah dan beramal semata-mata hanya kerana ALLAH dan bukan kerana selain ALLAH. Seseorang yang dikatakan ikhlas  didorong oleh niat untuk berbakti kepada ALLAH dan apa yang dilakukan itu  sesuai dengan syariat Rasulullah s.a.w.
  Selain itu ikhlas ini dilakukan didasarkan oleh tiga perkara.
             Pertama :  Ikhlas kerana rasa takut terhadap siksaan ALLAH dan mengharapkan  pahala yang melimpah.
            Kedua : Ikhlas  melakukan ibadah kerana didorong oleh rasa ingin mendekatkan diri  kepada ALLAH.
           Ketiga: Ikhlas  beribadah kepada ALLAH semata-mata didorong oleh suatu kesedaran bahawa segala sesuatu yang ada di dunia ini adalah milik ALLAH dan hanya ALLAHlah yang berhak disembah.
Ikhlas yang dilakukan pada tingkat pertama dan kedua masih mengharapkan balasan pahala dari ALLAH sementara yang ketiga dilakukan dengan hati yang tulus suci tanpa mengharapkan apa-apa pun ganjaran ALLAH.
Bagaimanakah untuk kita mengetahui sama ada ibadah seseorang hamba itu dilakukan ikhlas dilakukan kerana ALLAH atau dilakukan semata-mata untuk mengharapkan pujian sesama manusia?
      Ciri-ciri berikut boleh dijadikan panduan bagi orang yang ikhlas:
1                   Tidak suka menonjolkan diri atau mencari nama ketika melakukan satu amal perbuatan yang baik.
2                 Tidak hairan dengan pujian orang-orang di sekelilingnya kerana mereka tahu hanya ALLAH yang layak menerima pujian.
3      Tidak mengharapkan apa-apa balasan hasil amal ibadahnya dan berasakan amal ibadah itu  merupakan satu tanggungjawab seorang hamba kepada penciptanya.
4            Tidak mudah putus asa apabila mengalami kegagalan meskipun dengan tujuan yang baik kerana apa yang dilakukan semata-mata   kerana ALLAH.
5            Semua amal kebajikan dilakukan tanpa mengira sama ada amal ibadah yang besar ataupun sekecil-kecilnya.

      Redha dan marahnya bukan kerana ditujukan terhadap seseorang.
7          Rindu untuk melakukan amal kebajikan dan tidak ingin meninggalkannya.
8          Tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya apa yang dilakukan untuk kebaikan semua orang.
9          Tidak membataskan pergaulan sama ada dari golongan yang setaraf atau tidak.







Tiada ulasan: