SATU perkara
yang perlu diketahui untuk mencapai ke tahap kesempurnaan iman, ialah bersangka
baik. Bersangka baik kepada ALLAH akan melahirkan natijah yang baik, tetapi
jika sebaliknya akan melahirkan
sangkaan-saangkan yang buruk terhadap ALLAH. Sebagai contohnya apabila ALLAH memberikan ujian kepada
umat-Nya, ini bukan bermakna ALLAH bersangka buruk kepada mereka.
ALLAH
sendiri lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk terhadap makhluk
ciptaan-Nya. Oleh yang demikian tidak wajar manusia untuk menjatuhi hukum yang
ALLAH tidak bersangka baik terhadapnya. Apabila dianugerahi sesuatu dugaan atau
ujian, ada sesuatu yang tersirat di sebaliknya.
Mereka
yang dekat dengan ALLAH tidak akan sedikit pun merasa curiga dengan anugerah ALLAH
itu tetapi bagi mereka yang jauh dengan ALLAH akan menganggap ALLAH itu tidak
adil. Mengapa diturunkan dugaan kepadaku, tidak kepada orang lain? Begitulah di
antara kata-kata rungutan atau keluhan mereka yang diberikan ujian.
Apa
yang tersirat di sebalik anugerah berupa ujian itu ialah bagaimana mahu
menguruskan kesabaran apabila ditimpa ujian? Pengurusan kesabaran ketika
berhadapan dengan ujian inilah yang akan menunjukkan indek prestasi sejauh mana seseorang itu mampu
mengawal kesabaran sebagai bukti kesempurnaan iman mereka.
Orang
yang beriman menganggap dugaan yang ditimpakan
ke atasnya akan menerima dengan fikiran terbuka dan bermaksud baik. Manusia yang beriman mengganggap ujian
itu sebagai menguji tahap keimanannya.
Sekiranya berjaya dan tidak putus asa, sudah tentu tahap keimanannya di
peringkat tertinggi.
Apabila
berhadapan dengan ujian, tahap kesabaran sebenarnya sedang dinilai oleh ALLAH.
Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 177 yang
bermaksud, “Dan orang-orang yang bersabar
dalam musibah, penderitaan dan peperangan,
mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang
bertakwa.”
Bagaimanakah hendak dikatakan bertakwa jika sering berkeluh kesah meskipun hanya
berhadapan dengan ujian yang kecil? Bagaimanakah hendak dikatakan iman
seseorang itu sudah sempurna jika sifat sabar itu tidak mencapai separuh
daripada kesempurnaan iman?
Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis dilaporkan oleh
Al-Baihadi, berkata, “Sabar itu separuh daripada iman.” Ini bermakna jika sifat
sabar itu tidak ada langsung di dalam
diri seseorang, sudah tentulah ia tidak beriman.
Betapa perlunya seseorang itu
memiliki sifat sabar dijelaskan di dalam al-Quran pada lebih 90 tempat. Malah
ucapan ‘sabar’ itulah yang sering diucapkan apabila seseorang dilanda musibah
bagi menandakan keimanannya itu sebagai
penanda aras kesabaran. Perkataan ini
bukanlah sekadar perkataan untuk menyedapkan hati tetapi ucapan sebagai
peringatan kerana sifat sabar itu jika
diamalkan sepenuhnya, ALLAH akan memberikan ganjaran yang setimpal dengan tahap
kesabarannya.
Mereka yang beriman akan menerima
sesuatu musibah itu dengan redha kerana mereka yakin janji ALLAH itu benar. Tambahan
pula keimanan mereka pada tahap yang
tinggi, sudah tentu apa juga keputusan
yang ALLAH berikan kepadanya, merupakan keputusan yang baik.
Mendekatkan diri kepada ALLAH dengan mengenali sifat-sifat-NYA merupakan
jalan terbaik untuk meringankan beban yang ditanggung akibat musibah yang
diterima. ALLAH Maha Pengasih dan Penyayang sudah tentu tidak akan membebankan
hamba-Nya dengan bebanan yang melebihi daripada kemampuan menanggungnya.
Akibat menanggung bebanan yang berat itu ALLAH menambahkann
pahala berlipat kali ganda banyaknya. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah
Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya
hanya orang yang bersabar yang
dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batasan.” Jelaslah di sini kesabaran
merupakan puncak untuk mempertingkatkan keimanan.
Sesiapa pun pada peringkat permulaan
diuji dengan dugaan, tidak ada sesiapa yang tidak akan gelisah, tertekan, sedih
dan bermacam-macam lagi perasaan tetapi apabila kita redha bahawa ALLAH yang
memberikan ujian itu, percayalah berita gembira akan mereka nikmati apabila
berjaya mendidik diri dengan takwa.
Hal ini djelaskan sendiri oleh ALLAH
dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud, “Dan berikanlah khabar gembira kepada
orang-orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata: “Kami
milik ALLAH dan kepada-NYA jua kami akan dikembalikan.” Mereka itulah orang
yang mendapat rahmat daripada TUHANnya dan merekalah yang mendapat pertunjuk.”
Orang yang sempurna imannya akan
berasa lega apabila ALLAH memberikan ujian kepadanya. Itu sebagai satu petanda pembersihan terhadap
dosa-dosa yang pernah dilakukan, dan dengan cara itu mereka yang beriman itu
dapat mempertingkatkan tahap keimanan tanpa menaruh prasangka buruk terhadap
ALLAH.
Berbanding dengan orang yang tidak
beriman, pelbagai prasangka buruk
terhadap ALLAH akan timbul. Di antaranya mereka akan bertanya, mengapa aku yang
sudah susah ini diuji lagi dengan kesusahan dan penderitaan? Tidak cukupkah
dengan penderitaan yang aku tanggung selama ini? Mengapakah aku yang diuji
dengan musibah ini, bukan orang lain? Ini tidak adil!
Orang yang tidak beriman akan menyalahkan
ALLAH apabila ditimpa musibah. Oleh kerana jahil, mereka tidak faham semua
orang akan diuji dengan pelbagai musibah cuma cara dan masanya sahaja yang
berbeza. Mereka tidak boleh menerima
takdir. Mereka hanya mahu menerima yang
baik-baik atau yang menguntungkan sahaja dari ALLAH sedangkan yang merugikan,
mereka akan menolaknya. Itulah sikap orang yang tidak sempurna imannya.
Pernahkah kita terbaca di dalam
akhbar di mana seorang ibu kematian anak-anaknya sekaligus sama ada terlibat
dengan kemalangan, mati lemas, kebakaran, dibunuh dalam kes samun dan
sebagainya? Kita memang seringkali mendengar kisah menyayat hati ini. Sebagai
ibu, atau bapa tentu dapat dibayangkan jika anak-anak kesayangan seramai tiga
atau empat orang dijemput ALLAH sekaligus?
Ibu bapa yang redha tidak akan
kesal, tidak mengeluh atau menyalahkan ALLAH. Mereka tahu kesedihan, kepahitan
dan penderitaan mereka akan dibalas oleh ALLAH dengan ganjaran yang setimpal.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh
ALLAH yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis yang dicatat oleh
At-Tirmizi daripada Abu Musa al-Ash’ari, katanya, “Jika anak seorang hamba
mati, ALLAH berkata kepada malaikat-Nya: “Engkau telah mengambil nyawa anak
daripada hamba-Ku?” Mereka menyatakan: “Ya.” ALLAH kemudian berkata: “Apa yang
dikatakan oleh hamba-Ku?” Mereka berkata:
“Ia memuji-Mu dan beristirja. Maka ALLAH berkata: “Dirikanlah sebuah
rumah di syurga untuk hamba-Ku dan berikan nama dengan Baitul Hamd (rumah
pujian).”
Kepada ibu bapa yang ditimpa dengan musibah
seperti ini tentu tahap kesabaran mereka sudah diuji dan bakal menerima
ganjaran daripada ALLAH di atas kesabarannya itu. Ini dijelaskan oleh ALLAH
dalam al-Quran surah al-Ra’ad ayat 23-24 bermaksud, “Dan para malaikat masuk ke tempat mereka dari semua pintu (sambil
mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah
baiknya tempat kesudahan itu.”
Oleh
yang demikian, janganlah kita menjadi orang yang rugi dan buta daripada melihat
hikmah ALLAH apabila ditimpa sesuatu bencana. Anggaplah bencana yang dialami
itu sebagai satu pembersihan hati kita yang kotor kerana sukar hendak mengakui
kebesaran ALLAH. Bersedialah kita untuk menghadapi sesi kesempurnaan iman
dengan datangnya ujian yang tidak diduga masa dan bentuknya.
Tidak malukah kita untuk mengakui
bahawa kita sudah sempurna iman seandainya tidak pernah diuji dengan
ujian-ujian yang menggelisahkan jiwa kita?
Ujian yang kita hadapi sewajarnya
dilihat dari sudut yang positif di mana ia untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita terhadap ALLAH. Apabila semakin diuji, akan semakin bertambah keimanan,
bukan berkurangan dan semakin dekat dengan-NYA.
Ini sejajar dengan firman ALLAH dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 142
yang bermaksud, “Apakah
kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi ALLAH
orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang
bersabar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan