Isnin, 5 Januari 2015

PENTINGNYA REDHA MENERIMA MUSIBAH



HAMPIR setiap hari apabila kita membaca akhbar, kita akan sajikan dengan berita-berita yang berupa musibah. Mereka atau waris yang terlibat dengan musibah seperti kebakaran, kemusnahan harta benda, kes rompakan, kemalangan maut,  pembunuhan, mati lemas dan sebagainya tidak dapat lari daripada perasaan sedih yang menuntut kepada kesabaran dan keredhaan Ilahi.
Bagaimanapun tidak semua yang menerima musibah seperti itu mampu bersabar dan redha menerima ketentuan. Orang yang beriman dan yakin ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku sudah tentu dapat menahan sabar dan redha.  Contohnya terlalu sukar untuk ibu atau bapa yang redha kehilangan anak-anak sama ada dalam kebakaran, pembunuhan, kemalangan maut, mati lemas dan sebagainya kerana sebelum kejadian mungkin mereka sempat bergurau senda tetapi dalam sekelip mata sahaja, Allah sudah memisahkan mereka ke alam lain.

Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat-ganda kepada ibu bapa yang
redha dengan pemergian anak-anak mereka kerana Allah lebih menyayangi. Keredhaan ibu bapa itu akan memberikan ketenangan kepada roh anak-anak mereka apabila berhadapan dengan Allah.

Imam Ibnu Katsir dalam sebuah kitabnya menjelaskan, “Barangsiapa yang ditimpa sesuatu musibah dan dia meyakini bahawa musibah itu merupakan ketentuan dan takdir dari Allah, kemudian dia bersabar dan berharap (balasan pahala dari Allah), disertai dengan perasaan tunduk terhadap takkdir yang Allah tetapkan kepadanya, maka Allah akan memberikan pertunjuk ke dalam hatinya, bahkan Allah akan mengganti apa yang telah hilang darinya dengan yang lebih baik baginya.” – Kitab Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir, cetakan Darul Ma’rifah halaman 639.

Rasulullah SAW sendiri telah mengajarkan doa kepada para sahabat untuk menghadapi rasa sedih, resah dan gelisah apabila ditimpa musibah dengan doa yang di dalamnya mengaitkan dengan beriman kepada takdir.

Abdullah bin Mas’ud ra. Berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang tertimpa rasa gundah, sedih, lalu ia mengucapkan: (Wahai Allah, sesungguhnya aku ini adalah hamba-Mu dan anak dari hamba-Mu (yang lelaki) dan anak hamba-Mu (yang perempuan) takdirku di tangan-Mu, keputusan-Mu telah tetap padaku dan qadha-Mu adalah adil untukku, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau miliki, yang telah Engkau beri nama dengan diri-Mu atau yang telah Engkau ajarkan nama tersebut kepada sesiapa pun dari makhluk-Mu atau telah Engkau turunkan di dalam kitab suci-Mu atau yang telah Engkau simpan di dalam ilmu ghaib-Mu, jadikanlah al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dalam dadaku dan penghilang kesedihanku serta pelenyap kegundahanku.” – Hadis riwayat Ahmad.
   
Kita mungkin pernah melihat ada ibu bapa yang tenang apabila kehilangan anak mereka menghadap Ilahi, tidak sedih malah terpancar pada wajah mereka keredhaan terhadap musibah yang menimpa. Berbanding dengan mereka yang kufur, sedikit musibah yang ditimpakan,  mereka sudah hilang pedoman dan mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

Untuk membiasakan diri supaya redha, seringlah memohon pertunjuk dan pertolongan Allah tidak semestinya apabila ditimpa musibah tetapi setiap masa. Ada satu doa yang diajarkan dipetik daripada surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak berdaya memikulnya dan maafkan kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami, oleh itu tolonglah kami dan untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”   
    
Oleh itu, sebaik-baik sifat yang ada pada seseorang muslim apabila ditimpa  musibah ialah sifat sabar, redha dan mengharap pahala berpunca dari musibah yang menimpa. Seseorang muslim tidak boleh mempersoal dan menyesali musibah yang menimpa kerana setiap orang sudah pasti akan ditimpa musibah meskipun dalam bentuk yang berbeza.

Tiada ulasan: