Isnin, 5 Januari 2015

TUJUH UJIAN PENGHIAS KEHIDUPAN



DI DALAM hidup ini, manusia tidak akan terlepas dari dua perkara ini iaitu suka dan duka. Suka apabila menerima nikmat daripada Allah dan duka apabila menerima musibah daripada Allah. Walaupun sepatutnya mereka berlaku adil iaitu bersyukur apabila diuji kedua-duanya iaitu nikmat dan musibah tetapi ini tidak berlaku kerana mereka tidak dapat menerima ketentuan Allah berupa musibah.
   Adakalanya manusia diberi kegembiraan (nikmat) terlebih dahulu sebelum diberikan kedukaan (musibah), begitulah juga sebaliknya. Sifat manusia yang angkuh dan sombong hanya redha apabila diberikan nikmat tetapu sukar untuk redha apabila ditimpa musibah. Manusia  hanya mahukan kenikmatan sepanjang hayatnya dan menolak musibah sedangkan kedua-dua fitrah hidup yang wajib dirasai.
    Apabila sampai masanya untuk menerima musibah, manusia wajib redha sebagaimana mereka redha menerima kenikmatan hidup. Bagaimanapun manusia akan berkeluh kesah apabila ditimpa musibah dan lupa untuk bersyukur apabila diberikan nikmat kesenangan.
      Secara umumnya  ada tujuh ujian hidup yang wajib kita ketahui dan tujuannya tentulah tidak lain hanya kerana mahu melihat siapa yang redha dan siapa yang tidak redha dengan musibah yang ditimpakan sedangkan dalam suah Muhammad ayat 31, Allah sudah menjelaskan bernaksud, “Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad  dan bersabar di antara kamu, dan kan Kami uji perihal kamu.”
      Pertama ujian berupa perintah Allah sebagaimana Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih puteranya Ismail.
    Kedua, ujian larangan Allah seperti larangan berzina, rasuah, membunuh, memakan riba serta dosa-dosa besar yang lain.
   Ketiga, ujian berupa musibah seperti yang diterangkan dalam surah Al-Baqarah ayat 155 bermaksud, “Dan Kami pasti akan meguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta dan buah-buahan.”
     Keempat, ujian nikmat sebagaimana Allah jelaskan dalam surah Al-Kahfi ayat 7  bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di dalam bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami uji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya.”
       Kelima, ujian dari orang-orang yang melakukan kezaliman terhadap mereka yang lemah dan tidak berupaya sama ada dari golongan kafir atau bukan, juga dari golongan yang menyekutukan Allah atau golongan fasikh yang menentang syariat Allah, juga mereka yang melakukan hasad dan iri hati.
      Keenam, ujian dari pihak keluarga seperti suami, isteri, anak-anak dan saudara mara. Keluaga yang mulanya kita sayangi bukan msutahil akan menjadi musuah apabila menderhaka kepada Allah.
      Ketujuh, ujian dipersekitaran kehidupan seperti jiran tetangga, anggota masyarakat sekeliling,  pergaulan dengan rakan sekerja, tempat dan dunia pekerjaan juga termasuk system pemerintahan negara. Tidak mungkin kita akan mengalami semua keadaan itu dalam satu masa melainkan akan silih berganti.
    Sama ada ujian kecil atau musibah besar, Allah sebenarnya sudah menyediakan cara untuk mengetasinya masalah itu. Hanya manusia yang tidak pernah memohon pertolongan daripada Allah akan kebingungan. Justeru  sebaik sahaja ditimpa musibah, jangan bertangguh memohonlah pertunjuk daripada Allah semoga diberi pertunjuk.
      Allah sendiri sudah menunjukkan jalan sebagimana dalam surah Al-Baqarah ayat 48 bermaksud, “Dan mintalah pertolongan kamu dengan kesabaran dan dengan solat dan sesungguhnya solat itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang kusyuk tunduk jiwanya.”
       Mereka yang sentiasa memohon pertolongan daripada Allah tidak kira sama ada ketika susah atau senang tidak menganggap perbuatan itu sangat membebankan malah jawapan daripada Allah dinanti dengan sabar.
       Tetapi bagi mereka yang tidak pernah memohon pertolongan daripada Allah akan berasa janggal adakah Allah sudi membantunya kerana selama ini mereka jauh dengan Allah tetapi apabila ditimpa musibah, barulah terfikir hendak mendekatkan diri kepada-Nya.
      Sebenarnya itulah cara Allah supaya hamba-hamba-Nya sentiasa dekat dengan-Nya, tetapi cara ini tidak difahami oleh manusia yang jahil. Bagi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Dia tidak pernah beranggapan sebagaumana manusia fikirkan malah Allah lebih suka hamba-hamba-Nya merayu dan merintih mengharapkan pertolongan. Semoga kita menjadi umat yang sentiasa dekat dengan Allah dan dipermudahkan segala urusan seharian.




Tiada ulasan: