Isnin, 5 Januari 2015

TIGA MUSIBAH TIDAK DIGEMARI MANUSIA



DALAM banyak-banyak musibah, hanya tiga bentuk musibah yang tidak digemari manusia. Musibah itu ialah ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta. Ketiga-tiga musibah ini akan membuatkan kehidupan seseorang tidak tenang, sentiasa risau dan sentiasa diburu masalah.
 Mereka yang ditimpakan musibah berupa ketakutan ini akan berusaha untuk memperbaiki dan melawan ketakutan ini. Takut di sini bukan takut kepada hantu tetapi takut untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang akan mencetuskan masalah.
Mereka tidak yakin untuk berjaya mengatasi masalah itu dan tidak ada cara atau ilmu untuk mengatasinya. Ketakutan itu akan berterusan selagi tidak berusaha untuk mengusir rasa takut dengan cara menanamkan keyakinan dalam diri untuk tekad menghadapinya.
       Mereka yang hidup susah, kais pagi makan pagi sememangnya tidak digemari sesiapa pun. Kalau boleh mereka dapat makan dan pakai biarpun tidak berlebihan tetapi memadai asalkan tidak berlapar kerana tidak mampu membeli makanan kerana ketiadaan wang.
      Manusia sangat bimbang apabila kelaparan, sedangkan orang lain mampu makan apa sahaja yang mereka mahu. Kelaparan akan membuatkan jiwa menjadi kerdil kerana tidak mampu bersaing dengan orang lain dalam mencari rezeki. Walapun ezeki setiap manusia sudah ditentukan Allah, tetapi rezeki tidak datang bergolek dan kita mesti mencarinya. Di manakah silapnya jika rezeki tidak datang?
      Kehilangan, kegagalan dan kekurangan harta sememangnya pahit untuk ditelan apatah lagi jika selama ini hidupnya di kelilingi kemewahan. Apabila musibah datang seperti kebakaran, tanah runtuh, banjir besar dan sebagainya, dalam sekelip mata harta yang dikumpul lenyap begitu sahaja.
    Orang yang beriman akan menganggap musibah itu sesuatu yang manis, sekurang-kurangnya untuk mengingatkan apa juga yang ada di dalam dunia ini hanyalah milik Allah termasuk harta benda.  Sekiranya Allah mahu mengambil semula, itu adalah hak Allah. Mungkin juga musibah itu disebabkan harta miliknya selama ini tidak dibelanjakan ke jalan Allah seperti bersedekah dan berzakat.
     Apabila kita sudah merasai kemanisan musibah, kita akan menjadi manusia yang redha dan syukur dengan nikmat Allah. Sebaliknya orang yang berasa pahit dengan musibah, menganggap ia satu yang menyiksakan dan tidak berupaya menanggungnya.
     Sungguh, Allah memiliki rahsia tersendiri ketika mengatur perjalanan hidup hamba-hamba-Nya. Ada  manusia yang diberikan kesenangan hidup terlebih dahulu kemudian dberikan kesusahan apabila tidak mahu bersyukur.
      Ada juga yang diberi kesusahan hidup terlebih dahulu tetapi oleh kerana sentiasa bersyukur, Allah kurniakan kesenangan. Apa yang mereka alami itu sebenarnya banyak bergantung kepada cara manusia itu sendiri mengatur hidupnya.    
   Perumpamaan corak kehidupan seperti ini ada dirakam dalam surah Al-Imran ayat 140 bermaksud, “Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran itu), Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran) dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur syuhada) Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.”
      Rasa cinta dan kasih sayang, yang Allah benihkan di dalam hati manusia ini akan menumbuhkan rasa simpati.  Sekiranya ada di antara kita yang ditimpa musibah, ditimbulkan keinginan untuk membantu. Manusia yang diberikan nikmat kesusahan dan kesenangan akan saling berkongsi. Tidak ada sesiapa boleh menjamin, kita akan hidup senang selama-lamanya dan tiada siapa yang dapat menjamin kita akan hidup susah selama-lamanya.

Tiada ulasan: