Selasa, 23 Disember 2014

MENGAPA ALLAH TIMPAKAN MUSIBAH



RAMAI manusia mengeluh apabila ditimpa sesuatu musibah. Apatah lagi jika musibah itu bukan suatu yang diharapkan. Manusia  buruk sangka terhadap Allah kerana manusia lebih suka kepada kenikmatan berbanding musibah. Ibnu Qayyim dalam Syifaa ul ‘Aliil berkata, “Seandainya manusia mengetahui bahawa nikmat Allah yang ada dalam musibah itu tidak lain seperti halnya nikmat Allah yang ada dalam kesenangan, nescaya hati dan lisannnya akan selalu sibuk mensyukurinya.”

            Berapa ramai manusia yang beranggapan musibah Allah itu sebenarnya satu nikmat yang tidak ternilai kerana ada keuntungan di sebaliknya tetapi sayang, tidak semua manusia berfikiran yang sama. Oleh kerana nilai yang tinggi dan ada keuntungannya di sebaliknya, hanya sebilangan kecil manusia redha menerima musibah. Itu pun hanya kepada manusia yang benar-benar beriman kepada Allah.

            Ini ditegaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba ditimpa sesuatu musibah lalu mengucapkan, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raajiun, allahumma jumii fii mushiibatti wa akhlif lii khairan minhaa.” (Sesungguhnya kita berasal dari Allah dan akan kembali kepada-NYA. Ya, Allah, berikanlah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik darinya) melainkan Allah memberikan pahala dan musibahnya itu, dan menggantikan dengan yang lebih baik baginya.” – Hadis riwayat muslim.

            Sungguh, syurga itu mahal harganya. Bukan sebarang orang boleh memasukinya dan bukan sedikit cubaan yang perlu ditempuhi sebelum melepasi ujian yang Allah berikan. Hanya mereka yang redha dan sabar dengan pelbagai musibah sahaja mampu menempatkan diri di dalam syurga yang pebuh kenikmatan.

            Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang yang benar-benar memiliki kedudukan di sisi Allah, namun tiada satu amal yang dapat menghantarkannya  ke sana. Maka Allah sentiasa mencubanya dengan sesuatu yang tidak disukainya, sehingga mereka mampu sampai ke kedudukan itu.” – Hadis oleh Abu Ya’ala, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

            Orang yang bertakwa dan beriman tidak akan bertanya mengapa Allah memberikan musibah kepada tetapi sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya sama ada ia berupa musibah atau kenikmatan.  Apabila diuji dengan musibah, mereka bersykur kerana sekurang-kurangnya Allah telah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya. Bagi mereka musibah atau ujian hanya  seperti orang yang dikejutkan dari kelekaan atau kelalaian lalu apabila tersedar, mereka segera ingat kepada Allah.

            Ungkapan ‘Bismillahir Rahman nir Rahim’ yang bermaksud, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, mengingatkan mbetapa Allah sangat sayangkan hamba-hamba-NYA. Tetap malangnya apabila manusia ditimpa musibah, mereka pula mempersoalkan di manakah kasih sayang Allah apabila ditimpakan musibah.

            Jika manusia  mengasihi, mencintai atau menyayangi seseorang, mahukan kereka memberikan ujian berupa kesedihan, kekurangan, kehilangan dan sebagainya? Tentu tidak, tetapi kasih sayang  Allah tentulah berlainan dengan kasih sayang  manusia terhadap manusia lain.

            Musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan, kehilangan dan yang seumpamanya akan membuatkan manusia tertanya-tanya, tidak sayang lagikah Allah kepadaku? Tanggapan buruk seperti ini  hanya lahir dalam pemikiran manusia tetapi perancangan Allah mengandungi banyak hikmah  dan kebaikan seumpama  ubat yang pahit untuk ditelan tetapi yang pahit itulah yang akan menyembuhkan penyakit.

            Terlalu besar hikmah Allah yang tidak terjangkau oleh  pemikiran m
anusia. Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barangsiapa menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-NYA, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.

            Ibnu Ataillah mahu menjelaskan, apa juga ujian Allah pasti bermaksud baik walaupun pahit bagi manusia. Beliau menegaskan lagi, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati dan memikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

Rabu, 17 Disember 2014

MUSIBAH TIDAK MENIMPA ORANG ZALIM SAHAJA



MUSIBAH itu umum sifatnya. Maksudnya jika musibah ditimpakan kepada sesuatu kaum, bukan sahaja orang yang melakukan kemaksiatan yang terkena tetapi mereka yang tidak melakukan kemaksiatan juga akan tertimpa sama. Inilah yang menakutkan kita sebenarnya, tetapi janji Allah itulah yang nyatakan dalam al-Quran.
     Sebab itulah awal-awal lagi Allah sudah memberikan peringatan dalam surah Al-Anfal ayat 25 bermaksud, “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaannya."
     Selain daripada Al-Quran, dalam kitab Misykaatul Mashoobiih juz 3 bab 22 pasal 2, sebuah hadis bersumber dari 'Umairoh Al-Kindiy ra bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak mengazab umumnya manusia hanya kerana perbuatan khusus sebahagian mereka, sehingga mereka melihat kemungkaran di tengah mereka dan mereka mampu untuk menecegahnya, namun mereka tidak berbuat demikian.  Jika sudah demikian yang mereka perbuat maka Allah mengazab yang umum dan khusus dari mereka."
      Ayat di atas  mahu menjelaskan kepada kita betapa bahayanya jika membiarkan orang melakukat maksiat berleluasa sedangkan sebahagian mereka yang mempunyai kuasa tidak berusaha mencegahnya. Apabila ia berlaku di tengah-tengah masyarakat, orang yang berkuasa di dalam masyarakat itu mesti mengambil tindakan dengan menasihati supaya memberhentikan maksiat itu sebelum musibah tiba. 
      Sehubungan ini dalam surah Al-Maidah ayat 195, Allah sudah menerangkan maksudnya, “Sesungguhnya manusia jika mereka melihat orang yang berbuat  zalim dan tidak mencegahnya, maka sudah dekat Allah meratakan mereka semua dengan siksa dari-Nya."
     Dalam hal ini Allah tidak memilih siapa yang perlu diselamat dan siapa yang perlu ditimpakan musibah. Ini kerana apabila musibah itu diturunkan, semua yang berada di tempat berkenaan akan terkena sama. Untuk mengelakkan daripada musibah ini terjadi, setiap anggota masyarakat apabila mengetahui berlaku kemaksiatan berlaku di tempat mereka segeralah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya diambil tindakan.
     Sebuah hadis dari Muttafaqun 'alaihi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bersumber dari Zainab binti Jahsy ra, menceritakan tentang berita akan datangnya bahaya bagi umat manusia, lalu Zainab ra bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, mungkinkah kami binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang yang soleh ?" Rasulullah SAW pun menjawab, " Ya, apabila kerosakan sudah berleluasa.”
     Hadis di atas  menjelaskan,  bahawa Allah tidak memilih-milih sekiranya di dalam sesebuah masyarakat itu terdapat orang yang soleh dan orang suka melakukan kemungkaran ketika menurunkan musibah.
     Dari Jabir bin Abdullah ra, melaporkan Rasulullah SAW bersabda, “Allah 'Azza wa Jalla mewahyukan kepada Jibril as : "Goncangkanlah kota ini dan kota itu bersama penghuninya !" Jibril as pun berkata : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya di tengah-tengah mereka ada hamba-Mu si fulan yang tidak pernah melakukan maksiat kepada-Mu sesaat pun juga." Rasulullah SAW melanjutkan, "Allah berfirman: "Sesungguhnya wajahnya (si hamba yang soleh itu) tidak pernah berubah terhadap-Ku (tidak marah melihat kemaksiatan) sesaat pun juga."
     Dua hadis di atas sudah tentu mengingatkan kita yang hidup pada akhir zaman ini. Pelbagai bentuk kemaksiatan berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara malah kadang-kadang berlaku kemaksiatan di sebeleh menyebelah rumah pun kita tidak menyedari.
    Rasulullah SAW bersabda, “Demi yang jiwaku ada di tangan (kekuasaan) -Nya, hendaklah engkau sungguh-sungguh menyerukan kema'rufan dan mencegah kemungkaran, atau niscaya Allah akan benar-benar mengirim atasmu sekalian siksa dari-Nya. Kemudian engkau berdoa kepada-Nya dan Dia tidak mengabulkannya." – Hadis riwayat At-Tirmizi.

IKHLASKAH KITA MENERIMA MUSIBAH



REDHA, sabar dan ikhlaskah kita apabila ditimpa sesuatu musibah kepada diri sendiri atau anggota keluarga kita? Di mulut, mungkin kita mampu berkata redha dan bersaba n tidak semua orangtetapi di dalam hati kecil, tiada siapa yang tahu musibah itu bagaikan  petir yang mampu mengoyak-rabakan  hati. Memang sukar dan tidak semua orang mampu mendidik hati menerima musibah Allah dengan hati terbuka.
     Sebagai manusia yang lemah, kita wajib mendidik hati supaya bersikap redha, sabar dn ikhlas apabila ditimpa musibah walaupun ia amat pahit. Sebelum datangnya musibah, lidah kita memang mudah berkata redha tetapi apabila   musibah benar-benar menimpa, hati boleh berbelah bahagi untuk menyatakan pendirian.
      Ya, musibah itulah yang menjadi jawapan apa yang diucapkan oleh lidah kita. Bukankah Allah sudah menjelaskan dalam surah Al-Ankabut ayat 2 bermaksud, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak uji lagi?”
     Perlu diingat, apabila ditimpa musibah, kita mesti yakin kepada diri mampu untuk menanggungbmusibah itu biat berat bagaimanapun sekalipun. Allah tidak saja-saja mahu menimpakan musibah  melainkan sudah menyediakan hikmahnya.  Allah lebih tahu sama ada musibah yang ditimpakan itu sesuai atau tidak untuk hamba-Nya memikul.
      Kesabaran menghadapi  setiap musibah disabdakan oleh Rasulullah SAW: Dari Abu Said dan Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Tiadalah seorang Muslim menderita kelelahan atau penyakit atau kesusahan (kerisauan hati)  hingga tertusuk duri melainkan semua itu akan menjadi penebus kesalahan-kesalahanya.” – Hadis Bukhari dan Muslim.
    Hati kita hanya akan ikhlas apabila ditimpakan musibah berupa kenikmatan tetapi apabila ditimpakan musibah yang merugikan, sukar sekali untuk menyatakan keikhlasan.  Bagaimanapun secara umumnya, orang-orang beriman mampu melahirkan keikhlasan dan bersabar saat diuji Allah. Mereka menganggap musibah itu perkara biasa yang mesti ditempuhi mereka yang mengaku hamba Allah.
     Jika sebelum ini,  ada perasaan buruk sangka terhadap Allah, hapuskanlah perasaan itu. Yakinlah Allah sentiasa akan meletakkan  kedudukan hamba-hamba-Nya ke tingkat yang tinggi dan mulia kecuali jika hamba-hamba-Nya yang sengaja meminta supaya diri diperhinakan.                                                                              
     Keikhlasan seseorang yang menerima musibah Allah dapat dilihat dari sinaran pancaran wajahnya. Tidak ada sedikit pun rasa kesal, kesungguhan sewaktu  melakukan amal ibadah seperti biasa meskipun dalam kepayahan menerima musibah. Sebagai contoh,  apabila seseorang ditimpa musibah penyakit. Dalam kepayahan menahan sakit, keikhlasan menerima musibah dapat dijelmakan apabila tetap teguh melakukan ibadah tanpa sebarang alasan.
     Inilah yang Allah mahukan sebenarnya. Walaupun diuji dengan kesakitan dan kepayahan perintah Allah tetap dilaksanakan kerana hati yang ikhlas dan bertambah dekat dengan Allah. Orang seperti ini, Allah sedang mengatur rancangan untuk menyediakan satu kehidupan yang lebih baik selepas berakhir musibah ini.      
     Orang yang sakit sebenarnya lebih dekat dengan Allah. Sungguh nikmat kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Justeru apabila ditimpa musibah penyakit, manusia sanggup berhabisan wang ringgit asalkan kesihatannya dapat diperolehi semula.
     Apakah caranya untuk mendapatkan nikmat kesihatan? Caranya ialah berdoa dan memohon keampunan Allah. Allah yang memberikan musibah penyakit, dengan izin Allah juga sesuatu penyakit dapat disembuhkan. Bukan mustahil jika seseorang yang ditimpakan penyakit yang tiada harapan sembuh tetapi kerana dia ikhlas dan redha serta tidak putus asa berusaha, Allah akan memberikan keringanan penyakitnya.
     Kuasa Allah tidak ada sesiapa yang mampu menolaknya.  Inilah yang dikatakan sesudah kesulitan ada kesenangan, iaitu penyakit itu disembuhkan setelah puas diuji.

Isnin, 8 Disember 2014

TAWARAN BERURUSNIAGA DENGAN ALLAH DIJAMIN MENGUNTUNGKAN



TAJUK di atas mungkin sangat asing bagi kita untuk menafsirkannya. Mana mungkin manusia boleh melakukan urusniaga dengan Allah kerana Allah memiliki kedudukan yang mulia di sisi manusia dan Allah sudah pasti tidak akan melakukan urusniaga dengan manusia kerana manusia berurusniaga hanya kerana mahu mencari keuntungan sedangkan Allah tidak memerlukan semua itu.
Berurusniaga dengan semasa manusia jika betul cara pengurusannya sudah pasti akan membawa keuntungan dan keuntungan itulah nanti yang akan membawa perubahan dalam hidup. Hidup manusia boleh berubah jika melakukan urusniaga dengan jujur. Mungkin memulakan urusniaga secara kecil-kecilan, apabila mendapat keuntungan, mereka memperbesarkan lagi perniagaannya.  
Begitulah, perniagaan yang besar kebiasaannya bermula dari perniagaan secara kecil-kecilan. Mungkin ramai di antara kita tidak percaya, Allah juga sebenarnya melaksanakan perniagaan tetapi berurusniaga dengan Allah tentulah tidak sama dengan kita melakukan urusniaga dengan manusia.
Malah Allah menjanjikan, sekiranya melakukan urusniaga dengan Allah tidak akan mengalami kerugian tetapi keuntungan yang berlipat ganda dan sudah pasti akan merubah kehidupan kita kepada suasana hidup yang lebih selesa dan tidak tertekan dengan gelombang urusniaga.
Jika tidak percaya, hayati apa yang Allah katakan dalam surah   Al-Shaff   ayat 10-11 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
Ayat di atas menjelaskan, Allah mahu menunjukkan satu bentuk perniagaan yang tidak akan membawa kerugian, sebalik akan membawa keuntungan dan akan menyelamatkan manusia daripada neraka tidak ada unsur penipuan, riba, ketidakadilan, hutang dan sebagainya.
Di dalam ayat di atas, perniagaan yang dimaksudkan ialah membelanjakan harta ke jalan Allah. Sudah pasti apabila membelanjakan harta ke jalan yakni satu bentuk perniagaan yang Allah anjurkan, tidak akan mengalami sebarang kerugian atau penipuan, rasuah dan sebagainya.
Malah, apabila semakin banyak kita membelanjakan harta ke jalan Allah, semakin banyak pula pulangan yang kita perolehi. Contohnya pernahkan kita mendengar orang yang berzakat dan bersedekah menjadi miskin atau muflis? Tidak pernah. Orang yang berzakat dan bersedekah itulah orang yang sedang menjalankan urusniaga dengan Allah.
Allah menjelaskan lagi bentuk perniagaan yang dimaksudkan ialah beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Maksud beriman kepada Allah ialah membelanjakan harta dan jiwa semata-mata untuk jalan Allah. Berjihad dalam bentuk mencari ilmu merupakan satu bentuk perniagaan juga  yang menguntungkan di mana ilmu yang diperolehi itu akan disebarkan kepada orang lain pula. Orang lain akan mendapat manfaat daripada ilmu yang kita perolehi dan ia merupakan satu sedekah.
Kepada mereka yang tidak memahami maksud ayat di atas, sudah pasti akan timbul banyak persoalan seperti apakah yang dikatakan berurusniaga dengan Allah? Apakah yang Allah tawarkan? Bagaimanakah cara untuk mendapatkan keuntnungan? Bagaimanakah perniagaan itu nanti mampu merubah kehidupan kita? Dan banyak lagi persoalan akan timbul.
Persoalan di atas, sudah pun dijawab di atas dan ia merupakan satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Allah tidak mengkehendaki kita mengeluarkan modal yang besar untuk berurusniaga dengan-Nya, cukup dengan apa yang dinyatakan di bawah itu sebagai modal permulaan.
1·   Beriman kepada Allah
2.   Beriman kepada Rasulullah SAW
3.   Berjihad dengan harta
4.   Berjihad dengan jiwa raga
  Semua modal yang dinyatakan di atas bukanlah suatu yang menyulitkan kerana ia boleh disediakan memandangkan  semua orang memilikinya cuma, sejauh mana keikhlasan mereka untuk memberikan pinjaman kepada Allah dan Allah akan memberikan pulangan yang lumayan dan sudah pasti akan merubah kehidupan kita.
      Yakinlah,  sebagai pulangan kepada pelaburan tersebut yakni keuntungan, Allah telah menjanjikan suatu kemewahan yang tiada nilainya  iaitu menjadi ahli syurga 'Adn yang di dalamnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang sangat hebat jika ingin dibandingkan dengan kemewahan dunia yang sedikit.  Malah Allah tidak akan sekali-kali merugikan mereka yang melakukan pelaburan terhadap-Nya asalkan dilakukan dengan ikhlas.
        Dua ayat dari surah Al-Shaaf ini sekiranya dihayati benar-benar tidak akan menimbulkan keraguan dan Allah sendiri telah menerangkan terlebih dahulu keuntungan yang bakal diperolehi berbanding kerugian yang memakan diri sendiri apabila berurusniaga dengan syaitan. 
    Contoh berurusniaga dengan syaitan yang jelas menjanjikan kemuflisan ialah dengan membelanjakan atau menafkahkan harta benda yang tidak diredhai Allah seperti ke arah perjudian, membantu ke arah kemaksiatan, pemindasan, ketidakdilan sesama manusia yang segala perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah. 
          Daripada penjelasan ayat di atas, apakah  sukar untuk kita terliur  dengan penawaran yang telah allah janjikan? Sudah pasti apabila menerima penawaran tersebut hidup kita pasti akan berubah walaupun tidak di dunia, di akhriat sudah pasti akan dapat dinikmati.
        Sekiranya keuntungan berurusniaga dengan Allah ini dapat dilihat dengan mata kasar, sudah pasti tidak akan berlaku penindasan penipuan,  kezaliman, kemungkaran dan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Mereka yang beriman sudah pasti akan tertarik dan terpikat dengan tawaran ini dan tidak akan mengendahkan tawaran syaitan yang penuh dengan  janji-janji manis.
          Ramai di antara kita tidak sedar, setiap harta yang kita miliki sebenarnya ada hak orang lain di dalamnya dan kita perlu memberikan hak itu dalam bentuk sedekah, zakat atau apa juga bentuk bantuan yang memberikan manfaat kepada orang lain. Ramai menganggap harta yang dimiliki itu seratus peratus pemilikan sendiri yang diperolehi hasil jerih payah dan keringat, apa perlunya diberikan kepada orang lain sedangkan mereka juga boleh melakukannya apa yang dilakukan untuk mendapatkan harta.
            Apabila Allah membuka tawaran untuk melipatgandakan ganjaran dan perubahan hidup, kita perlu bijak mengambil tindakan. Tidak ada satu perniagaan atau pelaburan yang akan menyatakan secara jelas keuntungan yang bakal diperolehi melainkan melakukan urusniaga dengan Allah. Keuntungan yang Allah berikan tidak akan berubah-ubah walau apa pun keadaan berlaku tidak sama keuntungan yang kita lakukan dalam industri pelaburan.
         Perintah Allah supaya menyahut tawarannya dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 244 yang bermaksud, “Dan berjihadlah kamu sekalian di jalan Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
        Berjihad bukan sahaja menegakkan agama di medan perang tetapi membelanjakan harta ke jalan Allah juga merupakan satu jihad yang oleh dilakukan oleh semua orang mengikut kemampuan masing-masing. Untuk menguatkan hujah, Allah menjelaskan lagi penawarannya dalam ayat 245 yang bermaksud, “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rizki), dan kepadaNyalah kamu dikembalikan."
        Yakinlah, apabila kita berasa kikir dan takut kerugian untuk berurusniaga dengan Allah, jangan terkejut sekiranya Allah akan menyempitkan rezeki sebagai tanda manusia tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Dari Allah manusia diberikan nikmat, kepada Allah juga nikmat itu dikembalikan.