Rabu, 26 November 2014

PENJELASAN MUSIBAH DALAM AL-QURAN




APABILA Allah memberikan isyarat atau teguran, jangan sekali-kali  beranggapan ia satu perkara remeh kerana sikap kita itu akan membawa kepada satu petanda buruk akan berlakunya musibah. Ada kemungkinan isyarat itu satu peringatan awal supaya kita segera memuhasabah diri, apakah sebenarnya kesilapan yang sudah kita lakukan.

        Kepada sesiapa yang memandu kereta, tiba-tiba ada orang memberikan sesuatu isyarat atau membunyikan hon, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan kita atau kereta kita ada masalah. Pemandu lain akan perasaan jika kita tidak menutup pintu dengan rapat, terlupa menutup tangki minyak selepas mengisi minyak, tayar belakang bocor, ada bungkusan sampah di atas bonet atau ada kesalahan  lain yang kita tidak sedari.

           Semua isyarat itu akan membuatkan kita berhenti dan memeriksa apakah kesalahan kita. Begitu jugalah dengan hidup ini. Apabila Allah memberikan isyarat atau teguran, segeralah muhasabah diri apakah kesalahan yang sudah kita lakukan dan perbetulkan segera, jika tidak, sudah pasti akan mengundang padah.

           Di sini ada satu kisah, bagaimana seseorang yang tidak mengendahkan isyarat yang diberikan oleh seorang rakan kepada rakannya yang lain dan menganggap ia perkara kecil.

        Pada satu hari ketika sibuk bekerja, seorang buruh binaan dikejutkan dengan panggilan telefon bimbit dari seorang perempuan yang meminta supaya memberitahu rakannya, isterinya sedang sakit tenat dan meminta rakannya itu pulang segera. Perempuan itu memberitahu, dia sudah berkali-kali  menelefon  suami, isteri rakannya tetapi tidak berjawab.

         Oleh kerana lelaki yang menerima panggilan telefon itu berada di tingkat atas manakala rakannya berada di tingkat bawah, dia hanya memanggil-manggil nama rakannya tetapi oleh kerana bunyi bising, suaranya tidak didengari oleh rakannya. Akhirnya rakannya itu menjatuhkan wang syiling ke tingkat bawah dengan harapan rakannya akan tertimpa wang syiling itu dan mendongak ke atas.

            Tetapi sayangnya apabila rakannya itu tertimpa wang syiling itu, dia tidak dapat menangkap apa-apa isyarat dan beranggapan wang syiling itu mungkin terjatuh dari poket seluar pekerja binaan di tingkat atas dan menganggap ia satu rezeki. Oleh kerana tidak ada tindak balas, rakannya itu menjatuhkan wang syiling satu persatu sehinggalah wang syiling dalam poketnya habis.

            Setelah mendapati tidak ada tindak balas, rakan lelaki itu menjatuhkan kayu yang agak besar kira-kira sebesar lengan sepanjang satu kaki ke bawah. Akhirnya kayu itu tertimpa kepala rakannya itu dan membuatkan rakannya itu marah.  Ini menyebabkan lelaki itu mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu.

            Sebaik sahaja lelaki itu naik ke tingkat atas dan mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu, barulah rakan lelaki itu menceritakan perkara sebenar dan hilanglah rasa marahnya.

           Sebenarnya, inilah cara Allah ingin memberikan isyarat atau teguran kepada hamba-hamba-NYA jika  melakukan kesilapan. Allah akan menimpakan musibah-musibah kecil ibarat melemparkan batu-batu kerikil supaya manusia sedar. Sekiranya manusia itu tidak juga sedar, batu-batu sebesar batu-bata akan ditimpakan, jika tidak sedar juga barulah batu sebesar bola dilemparkan.

            Kisah di atas wajar dijadikan ikhtibar supaya kita segera memahami teguran Allah dan jangan menunggu Allah ‘menjerit’ barulah kita bergegas memuhasabah diri. Oleh itu apabila kita ditimpa musibah kecil, segeralah berwaspada dan bersedia sebelum musibah yang lebih besar datang melanda.

           Sebagai contoh,  sebelum berlaku bencana kemarau panjang, kita diingatkan supaya bersedia menyimpan air atau menggali perigi. Manakala jika musim tengkujuh tiba, kita diingatkan supaya bersedia menghadapi banjir dengan menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat.

Allah sebenarnya mahu  kita supaya memahami takdir. Ini akan  memudahkan kita mentadbir atau mengurus  apabila ditimpa sesuatu musibah serta tidak menyalahkan Allah sedangkan kesilapan itu datangnya dari manusia sendiri.              

MEMAHAMI PENGERTIAN MUSIBAH




KADANG-kadang apabila kita mendengar atau mengetahui seseorang ditimpa musibah, kita akan terus membuat kesimpulan bahawa mereka  sedang diazab Allah kerana banyak melakukan kemungkaran seolah-olah kita tahu dan pasti itulah yang menjadi puncanya. Berhati-hatilah apabila membuat kesimpulan seperti ini.
 
        Allah Maha Mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan kita sebagai hamba-NYA tidak layak sama sekali untuk mendahului dalam memberikan jawapan terhadap sesuatu musibah yang menimpa.

       Sebelum kita membuat pelbagai tanggapan yang tidka baik terhadap mereka yang ditimpa musibah, ada baiknya kita mengetahui apakah maksud musibah dan perkataan-perkataan yang seumpamanya dan memberikan pengertian yang hampir sama. 
 
       Musibah ialah sesuatu yang tidak disukai yang ditimpakan oleh Allah  ke atas manusia akibat daripada kesalahan besar yang mereka lakukan. 

       Bala’ ialah ujian yang Allah beri kepada seseorang demi kebaikan dirinya sendiri sekali pun orang itu pada asalnya tidak menyedarinya. 

       Fitnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada manusia tanpa dibezakan sama ada disebabkan oleh kesalahan manusia itu atau untuk kebaikan manusia tersebut.

       Sementara itu fitnah adalah sesuatu yang umum manakala musibah dan bala’ adalah khusus. Fitnah boleh merangkumi musibah atau bala’.

       Perlu diketahui apa sahaja bentuk musibah yang berlaku, semunya dengan izin Allah. Ini dijelaskan dalam surah Al-Taghabun ayat 11 yang bermaksud, "Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah."

      Walaupun Allah mengizinkan sesuatu musibah itu berlaku, bukan bermakna Allah meredai, tetapi  Allah tetap mengizinkan sebagai satu sebab untuk memberikan hikmah atau sebaliknya akibat kejadian musibah itu. 

      Meskipun kebiasaannya musibah memang tidak disukai manusia tetapi adakalanya ia disukai oleh manusia yang beriman kerana ada hikmah atau kesenangan di sebalik musibah itu. Allah tidak memungkiri janjinya apabila ia dinyatakan dalam surah al-Insyirah ayat 5-6  yang bermaksud, “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan  itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”

      Ayat ini diulang dua kali sebagai meyakinkan, ia bukan hanya sekadar pernyataan tetapi Allah benar-benar menunaikan janjinya. Kita lihat orang-orang di sekeliling kita yang sebelum ini ditimpa pelbagai kesusahan dan penderitaan tetapi akhirnya Allah memberikan kesenangan dan kelapangan setelah mereka sabar dan redha dengan musibah yang diterimanya.
           
       Apabila kita melihat parut pada tubuh kita, kita akan teringat apakah peristiwa yang menyebabkan parut itu.  Begitulah juga dengan musibah yang menimpa seseorang atau sekelompok masyarakat, manusia akan segera mudah ingat kepada Allah. Mereka akan muhasabah  diri apakah kemungkaran yang sudah dilakukan sehingga Allah menimpakan musibah ke atasnya.

       Bandingkan dengan seseorang yang menerima sesuatu yang disukainya. Contohnya apabila diberikan kekayaan dan kemewahan, mereka akan lupa kepada Allah, lalai beribadah, selalu sibuk dengan urusan keduniaan dan banyak melakukan kemungkaran.

       Berbeza dengan mereka yang ditimpakan musibah kemiskinan, kelaparan, kesakitan dan seumpamanya, mereka sentiasa ingat kepada Allah sebagai pemberi musibah. Mereka sentiasa berdoa kepada Allah supaya segera dibebaskan daripada musibah yang membaluti hidup mereka.

       Para ahli agama berpesan, lebih baik ditimpakan musibah yang berupakan keburukan adalah lebih baiknya daripada kenikmatan kerana jumlah yang lulus dalam ujian keburukan lebih tinggi berbanding yang lulus ujian kenikmatan.  Sebagai manusia yang sentiasa beriman kepada Allah wajar sekali redha dengan apa juga bentuk musibah yang Allah tentukan untuk kita.