Isnin, 8 Disember 2014

TINGGALKAN YANG HARAM



SATU malam yang hening, seorang lelaki yang kelaparan berjalan-jalan di sekitar Madinah. Ketika berjalan untuk mencari makanan, lelaki itu terbau makanan yang enak dari sebuah rumah berhampiran. Keadaan rumah itu gelap menandakan penghuninya sudah tidur. Oleh kerana nafsu laparnya tidak dapat dikawal, tambahan pula dia tidak ada wang untuk membeli makanan, akhirnya dia mendapat idea.
            Sambil menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang melihat perlakuannya, lelaki itu menghampiri rumah itu bertujuan untuk me-masuki rumah itu.  Setelah memastikan tidak ada sesiapa melihat perbuatannya, lelaki itu perlahan-lahan mengompel pintu rumah itu dan terus masuk ke rumah itu tanpa disedari oleh pemilik rumah itu.
            Sebaik sahaja  dia masuk, dia terus mencari di mana bau makanan itu disimpan. Akhirnya dia menemui makanan itu yang dletakkan di atas meja di dalam rumah itu. Tanpa berlengah dia segera mencapai makanan yang enak itu. Tetapi perlakuannya tiba-tiba sahaja terhenti apabila fikirannya teringatkan pesanan Rasulullah s.a.w ketika majlis ilmu yang diikuti di masjid selepas maghrib malam itu.
            Di dalam majlis ilmu itu berulangkali Rasulullah s.a.w berpesan, “Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal.”
            Teringatkan pesanan itu, lelaki itu  tidak jadi hendak mengambil makanan itu walaupun pada ketika itu dia masih kabur apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w itu. Akhirnya lelaki itu  beredar  dari rumah itu.
            Ketika mahu melangkah keluar dia ternampak sebuah almari. Di bawah almari itu terdapat laci, Dia segera membuka laci, Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang barang-barang kemas yang mahal harga tersimpan. Sudah tentu aku tidak perlu bekerja jika mendapat emas sebanyak itu, fikirnya dalam hati.
            Dia segera menggenggam emas itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju tetapi sebaik sahaja dia menggenggam, dia teringatkan pesanan Rasulullah s.a.w sekali lagi dan  masih terngiang-ngiang di telinganya.
            “Tinggalkan yang haram, percayalah kamu akan mendapat yang halal,” pesanan itu berulangkali menusuk ke telinganya.
            Sekali lagi, lelaki itu tidak jadi mengambil emas itu dan meletakkan semula  ke dalam laci. Oleh kerana tidak jadi mengambil barang kemas itu, dia segera beredar. Ketika melewati sebuah bilik yang terbuka, dia terlihat seorang perempuan cantik sedang tidur di dalam bilik itu.
            Tergoda lelaki itu apabila  melihat wanita cantik yang tidur dengan  pakaian yang mengghairahkan. Dia  tidak mampu untuk mengawal nafsunya  lalu lelaki itu menghampiri perempuan  yang sedang tidur lena.
            Nafsunya meluap-luap tambahan pula hasutan syaitan supaya  melakukan maksiat terhadap wanita itu tidak mampu dikawal lagi. Ketika itu juga nafsunya berperang dan ketika dia mahu memegang tubuh perempuan itu, sekali lagi pesanan Rasulullah s.a.w menusuk ke fikirannya sehingga akhirnya dia tewas dengan pesanan itu yang kuat menerjah telinganya.
            “Tinggalkan yang haram, kamu pasti akan mendapaat yang halal.” Pesanan yang menerjah itu menyebabkan dia akhirnya beristighfar berkali-kali dan perlahan-lahan keluar dari rumah itu tanpa sempat menutup semula sebagaimana dia mahu membukanya tadi.
            Setelah gagal memperolehi apa yang dihajati, dia kembali pergi ke masjid tanpa disedari subuh hampir menjelang. Setelah bersolat subuh secara berjemaah, lelaki itu pergi  ke serambi lalu berbaring dan akhirnya terlena kerana terlalu mengantuk berjaga pada malam itu.
            Apabila matahari sudah naik dan hari mulai siang,  seorang perempuan telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang ketika itu masih berada di masjid.
            “Ya Rasulullah. Malam tadi rumahku telah dimasuki pencuri tetapi mujurlah tidak ada barang-barang yang hilang. Saya percaya pencuri itu akan datang lagi. Saya menjadi takut dan memohon Rasulullah mendapatkan saya seorang pengawal untuk mengawal rumah saya,” beritahu wanita itu sambil mengharap hajatnya ditunaikan.
            “Wahai puan, dengan siapakah kamu tinggal?” Rasulullah s.a.w  bertanya.
            “Saya seorang janda dan tinggal seorang diri, ya Rasulullah..,” ujarnya jujur.
            Sebaik sahaja mendapat  penjelasan itu Rasulullah s.a.w memandang di sekitar masjid jika ada sesiapa yang boleh ditawarkan menjadi pengawal rumah perempuan itu. Akhirnya Rasulullah s.a.w  ternampak lelaki tadi yang sedang terbaring di serambi masjid.
            Rasulullah s.a.w segera mengejutkan lelaki itu dan bertanya, “Hai lelaki, apakah pekerjaan kamu sehingga kamu tertidur di sini?”
            “Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.”
            “Adakah kamu sudah berkeluarga?”
            “Saya seorang duda yang kematian isteri. Sejak itu hidup saya tidak terurus kerana sedih dengan pemergiannya ya Rasulullah.”
            “Bagaimana kalau aku tawarkan kamu satu pekerjaan?”
            “Apakah pekerjaan itu ya Rasulullah?”
            “Menjadi pengawal rumah seorang perempuan.”
            “Siapakah perempuan  itu yang Rasulullah.”
            “Perempuan itu seorang janda dan memerlukan pengawal rumahnya kerana telah dimasuki pencuri. Dia bimbang pencuri itu akan masuk lagi ke rumahnya,” beritahu Rasulullah s.a.w sambil mengharapkan jawapan lelaki itu.
            Kemudian Rasulullah s.a.w memperkenalkan wanita itu kepada lelaki itu. Alangkah terkejutnya lelaki itu  apabila dia melihat perempuan itu adalah perempuan yang dilihatnya ketika masuk ke dalam rumah untuk mencuri dan menggodanya.
            “Tetapi saya seorang duda dan dia seorang janda ya Rasulullah, tentulah tidak elok jika waktu malam saya berada di rumah itu,” lelaki itu melahirkan rasa bimbangnya
            “Jika begitu, bagaimana jika saya cadangkan kamu berdua bernikah supaya kamu dapat menjadi penjaga rumah itu menjaga perempuan ini daripada sebarang gangguan.”
            Lelaki itu tidak menjawab. Dia tersipu-sipu malu.  Begitu juga dengan perempuan itu, dia berpusing sambil tersipu-malu malu walaupun di dalam hatinya tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki itu.
“Apa pendapat kamu wahai lelaki?”
Oleh kerana terlalu terharu dengan permintaan Rasulullah s.a.w, lelaki itu akhirnya membuka rahsia. Dia menceritakan apa sebenarnya telah dilakukan pada malam itu kerana tidak dapat mengawal nafsunya. Tetapi setelah mendengar pesanan Rasulullah s.a.w itu, dia telah bertaubat.
Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menikahkan lelaki itu dengan  perempuan  itu dengan disaksikan oleh para sahabat. Sebaik sahaja dinikahkan, barulah lelaki itu mengerti dan faham apa yang tersirat di sebalik pesanan Rasulullah s.a.w supaya meninggalkan yang haram dan akan mendapat yang halal.
Lelaki itu bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan dari hawa nafsu dan bisikan syaitan.       
               
               

Ahad, 30 November 2014

MUSIBAH TANDA ALLAH SAYANG HAMBANYA



JIKA seseorang pelajar diberikan ujian oleh guru yang mengajar, tujuannya untuk menguji sejauh mana anak-anak muridnya memahami apa yang diajarkan dan untuk mengetahui sejauhmana prestasinya menerima pelajaran. Daripada ujian itu dapatlah diketahui siapakah  yang mendapat markah tertinggi dan siapakah yang gagal.

       Bagi Allah, untuk mengetahui sejauh manakah tahap keimanan hamba-hamba-Nya, diturunkanlah musibah dengan harapan musibah itu akan menjadi kayu ukur sejauh mana kesabaran, redha dan syukurnya umat manusia. Mereka yang bersyukur, sabar dan redha dengan setiap musibah akan menerima darjat dan ganjaran yang tinggi.

            Sebenarnya banyak hikmah selepas menerima sesuatu musibah itu di antaranya menjadikan seseorang itu lebih tabah, kuat, yakin dan bersemangat jika dibandingkan dengan sewaktu belum menerima musibah. Mereka yang pernah ditimpa musibah pasti mengakui keyakinan mereka terhadap Allah semakin meningkat serta bertambah sabar serta yakin musibah yang Allah timpakan bukan satu kezaliman tetapi tanda bukti kasih sayangnya.

            Allah menurunkan musibah kepada hamba-hamba-Nya pada waktu yang lain kemudian mngurniakan hikmahnya pada waktu yang lain pula. Jarak waktu di antara menerima musibah dengan waktu Allah memberikan hikmahnya, sudah ditentukan oleh Allah pada masa yang sesuai. Tidak mungkin ketika itu ditimpakan musibah, ketika itu juga akan menerima hikmahnya.

            Pada masa perbezaan jarak inilah, Allah melihat sikap dan tindak-tanduk hamba-hamba-Nya menerima musibah. Sudah pasti ada yang bersyukur, sabar dan redha  dan ada juga yang memberontak, sukar menerima kenyataan, buruk sangka dan menyalahkan Allah.

            Ketika inilah Allah menilai siapa-siapakah para hamba-Nya yang berharap sepenuhnya kepada Allah dan siapa yang berpaling. Sesiapa yang mengharapkan pertolongan, Allah akan memberikan pertolongan dan sesiapa yang kufur akan merasai balasan Allah yang pedih.
           
            Jika besar musibah yang menimpa, semakin besar dan banyak pula pahala dan ganjaran yang diterimanya. Jika kecil musibah itu, kecil jugalah pahala yang diterimanya. Ini berdasarkan hadis  daripada Anas bin malik, Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya besarnya ganjaran itu diilai pada besarnya bala yang menimpa.  Dan sesungguhnya  Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum , maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperolehi keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah.” – Hadis  riwayat At-Tirmizi dan Al-Albani.              

            Meskipun besar atau kecilnya ganjaran yang diberikan oleh Allah bergantung kepada besar atau kecilnya sesuatu musibah, kita jangan sekali-kali beranggapan kasih sayang Allah terhadap para hamba-Nya sama dengan kasih sayang di antara manusia dengan manusia lain.

           Kasih sayang Allah terhadap para hamba-Nya bukan sahaja ditimpakan anugerah dan kurniaan nikmat hidup tetapi termasuk juga musibah yang berupa kesakitan, kelaparan, kematian, penderitaan, ketakutan, kehilangan harta benda, pangkat, kuasa dan sebagainya.

            Bezanya kasih sayang manusia terhadap manusia terhad hanya kepada pemberian anugerah atau nikmat yang berupa kebaikan atau kegembiraan tetapi kasih sayang Allah terhadap para hamba bukan sahaja berupa nikmat tetapi juga keburukan. Untuk itu bukanlah mudah untuk meraih kasih sayang Allah selagi tidak  diuji dengan musibah atau penderitaan.

    Bukan sahaja mendapat ganjaran pahala, mereka yang redha dan bersabar akan memasuki syurga. Ini berdasarkan janji allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 bermaksud, “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)  seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda)  dan serangan penyakit serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.

         Justeru apabila diuji dengan pelbagai musibah di dalam hidup, anggaplah ia satu peluang mendapatan kaish sayang Allah dan laluan untuk menuju ke syurga asalkan sahaja kita dan bersyukur dengan musibah yang diterima meskipun ia menjengkelkan hati.

         Jika di dalam hidup ini, kita mendapat secara percuma semua nikmat Allah, apabila tiba masanya kita diuji dengan musibah, buktikan dengan kesyukuran apabila ditimpa ujian yang menyakitkan. Semoga kita menjadi manusia yang meletakkan Allah di tingkat paling atas berbanding perkara-perkara lain.

        



JADIKAN MUSIBAH UNTUK BERMUHASABAH



SUDAH menjadi lumrah manusia apabila dikurniai kenikmatan hidup, mereka akan berbaik sangka terhadap Allah kononnya Allah sangat sayangkan mereka dan diberilah mereka kekayaan, kemewahan, kuasa, pangkat dan sebagainya. Tetapi apabila mereka ditimpakan musibah, iktikad hati mereka terbalik dan mereka buruk sangka terhadap Allah.  

Musibah dalam kehidupan manusia merupakan kayu ukur untuk menilai sejauh mana keimanan terhadap Allah. Iman dan musibah tidak boleh dipisahkan, semakin tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat pula ujiannya. Ini bukan bermakna orang yang kurang tahap keimanannya tidak diuji, ia akan diuji mengikut kemampuan memikul ujian itu. Ini dijelaskan dalam surah Al-Ankabut ayat 2 bermaksud, “Apakah manusia mengira, ia dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji?”

Manusia yang sentiasa akrab dengan Allah akan mengambil pendekatan berbeza apabila ditimpa musibah. Mereka segera menjadikan musibah itu sebagai landasan untuk memuhasabah diri, memperbetulkan kesilapan dan segera bertaubat. Berbanding dengan mereka yang jauh daripada Allah, apabila mereka ditimpa musibah, mereka segera bersangka buruk terhadap Allah.

    Orang yang bertakwa menerima musibah itu dengan kesyukuran dan menganggap ia perkara kecil sedangkan orang yang lemah imannya biarpun musibah itu kecil tetapi ia menganggap seumpama batu besar yang menghempap tubuhnya sehingga lembik.

    Umumnya manusia tidak boleh lari daripada menerima musibah tetapi manusia boleh mengubah musibah untuk memuhasabah diri dan bukan menyalahkan orang lain. Bagaimanakah caranya untuk mengubah musibah menjadi landasan untuk bermuhasabah?

    Dalam surah Al-Zukruf ayat 48, Allah menegaskan, “Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.”

    Ayat di atas menjelaskan, apabila seseorang ditimpa musibah supaya mereka berfikir semula apakah kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan sehinggakan Allah menrunkan azab. Sudah pasti ada sebabnya. Carilah sebab itu dan perbaiki kesalahan atau kesilapan itu dengan cara mendekatkan diri kepada Allah dan mengikuti syariat yang sudah ditetapkan.

    Seseorang yang tidak mahu bermuhasabah diri setelah ditimpakan musibah, yakinlah musibah yang lebih besar akan menimpa mereka. Ini ibarat dilempat batu-batu kecil tetapi jika masih tidak sedar, ia akan  ditimpakan batu-batu yang besar supaya mereka cepat sedar.

Tujuan dilemparkan musibah-musibah kecil supaya kita sedar dan belajar, segera memperbaiki kesalahan dan mendekatkan diri kepada Allah. Apabila tiba musibah yang lebih besar daripada itu, sudah tentu pengalaman ditimpa musibah kecil boleh dijadikan panduan. 

Sekiranya mereka masih degil dan tidak mahu kembali ke jalan yang benar, masih melakukan kemaksiatan tanpa memperdulikan peringatan dan teguran Allah, merekalah orang yang paling malang kerana Allah sudah menegaskan dalam surah At-Taubah ayat 74 bermaksud, “Dan jika mereka terus berpaling, nescaya Allah akan mengazab dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat.”


Tujuan Allah berbuat demikian  bukanlah mahu menganiayai hamba-hamba-Nya tetapi disebabkan kedegilan. Dalam surah Al-Ankabut ayat 40, Allah juga sudah memberikan peringatan bermaksud, “Maka masing-masing (mereka itu) Kami siksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan ada di antara mereka ditimpa dengan suara yang menggegarkan bumi dan ada di antara mereka yang Kami benamkan ke bumi, dan ada di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut dan Allah tidak sekali-kali tidak menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.”    
     
Justeru ingatlan, apabila kita ditimpa musibah, Allah sebenarnya mahukan kita menjadi manusia yang lebih atas dasar sifat kasih sayang-Nya dan jangan menganggap ia satu penganiayaan.